Text copied!
Bibles in Malay (individual language)

Yahya 4:29-52 in Malay (individual language)

Help us?

Yahya 4:29-52 in Kitab Suci Zabur dan Injil

29 Perempuan itu berkata, ‘Marilah lihat seorang yang menyebutkan kepadaku segala yang telah kulakukan. Mungkinkah orang itu al-Masih?’
30 Dengan demikian, orang di bandar pun pergi mendapatkan Isa.
31 Sementara itu, para pengikut Isa berkata kepada-Nya, ‘Tuan Guru, silalah makan.’
32 Isa menjawab, ‘Aku ada makanan yang tidak kamu ketahui.’
33 Lalu para pengikut Isa tertanya-tanya sesama sendiri, ‘Adakah sesiapa datang membawakan-Nya makanan tadi?’
34 Isa berkata, ‘Makanan-Ku itu melaksanakan kehendak Dia yang mengutus-Ku dan menyelesaikan pekerjaan-Nya.
35 Bukankah kamu berkata, “Empat bulan lagi barulah tiba musim menuai?” Tetapi Aku berkata kepadamu, lihatlah ladang yang sudah menguning, sedia untuk dituai.
36 Orang yang menuai akan menerima upah dan mendapat hasil untuk hidup kekal. Dengan demikian, penyemai benih dan penuai akan bergembira bersama-sama.
37 Dalam hal ini benarlah pepatah, “Ada yang menyemai, ada pula yang menuai.”
38 Aku menyuruhmu menuai ladang yang bukan hasil usahamu. Orang lain yang mengerjakannya, kamu yang mendapat hasilnya.’
39 Pada masa itu ramai orang Samaria percaya kepada Isa setelah mendengar perempuan itu berkata, ‘Dia menyebutkan kepadaku segala yang telah kulakukan.’
40 Oleh yang demikian, ketika mereka datang menemui Isa, mereka mengajak-Nya tinggal bersama mereka. Isa pun tinggal di situ selama dua hari.
41 Lebih ramai lagi orang yang percaya kepada Isa kerana kata-kata-Nya.
42 Mereka berkata kepada perempuan itu, ‘Sekarang kami percaya bukanlah kerana kata-katamu tetapi kerana kami telah mendengar kata-kata-Nya sendiri dan kami tahu Dialah al-Masih, Penyelamat umat manusia di dunia.’
43 Selepas tinggal dua hari di Samaria, Isa ke Galilea pula,
44 kerana Isa sendiri bersaksi bahawa seorang nabi tidak mendapat penghormatan di negerinya sendiri.
45 Setiba-Nya di Galilea, orang di situ menyambut-Nya. Mereka telah melihat segala yang dilakukan-Nya di Baitulmaqdis pada masa perayaan Paska dahulu. Pada ketika itu, mereka juga berada di sana.
46 Selepas itu Isa pulang ke Kana di Galilea, iaitu tempat Dia mengubah air menjadi air anggur. Seorang pegawai kerajaan di situ mempunyai anak lelaki yang sedang sakit di Kapernaum.
47 Apabila pegawai itu mendengar tentang kedatangan Isa ke Galilea dari Yudea, dia pun pergi berjumpa Isa. Dia meminta Isa datang ke Kapernaum untuk menyembuhkan anaknya yang sakit tenat dan hampir maut.
48 Tetapi Isa berkata, ‘Kalau kamu semua tidak melihat mukjizat dan hal-hal luar biasa, tidaklah kamu percaya.’
49 Pegawai itu merayu, ‘Tuan, datanglah segera sebelum anakku mati.’
50 Isa pun berkata, ‘Pergilah, anakmu akan sembuh.’ Pegawai itu percaya akan kata-kata Isa lalu pergi.
51 Dalam perjalanannya ke rumah, hambanya datang memberitahu bahawa anaknya itu telah sembuh.
52 Apabila pegawai itu bertanya bila anaknya mula pulih, mereka menjawab, ‘Kelmarin, pada jam yang ketujuh, dia tidak demam lagi.’
Yahya 4 in Kitab Suci Zabur dan Injil