Text copied!
Bibles in Malay (individual language)

Yahya 4:13-38 in Malay (individual language)

Help us?

Yahya 4:13-38 in Kitab Suci Zabur dan Injil

13 Isa berkata, ‘Sesiapa yang minum air dari perigi ini akan dahaga semula;
14 tetapi sesiapa minum air yang Kuberikan kepadanya nanti tidak akan dahaga lagi selama-lamanya. Air yang akan Kuberikan itu akan menjadi mata air di dalam dirinya dan memberinya hidup yang kekal.’
15 Perempuan itu berkata, ‘Tuan, berikanlah air itu kepadaku, supaya aku tidak dahaga lagi dan tidak perlu lagi datang ke perigi ini mengambil air.’
16 Isa menjawab, ‘Pergilah dulu, bawa suamimu ke mari.’
17 Perempuan itu berkata, ‘Aku tidak ada suami.’ Isa pun berkata, ‘Memang benar engkau tidak ada suami sekarang.
18 Kamu telah berkahwin lima kali. Lelaki yang tinggal denganmu sekarang bukan suamimu. Benarlah katamu itu.’
19 Perempuan itu berkata, ‘Tahulah aku sekarang, Tuan ini seorang nabi.
20 Nenek moyang kami menyembah Allah di gunung ini, tetapi bangsa tuan berkata tempat orang menyembah Allah hanya di Baitulmaqdis.’
21 Isa berkata, ‘Hai perempuan, percayalah, akan sampai saatnya kamu menyembah Bapa bukan lagi di gunung ini atau di Baitulmaqdis.
22 Kamu menyembah apa yang tidak kamu kenal; sebaliknya, kami menyembah apa yang kami kenal kerana penyelamatan datang daripada orang Yahudi.
23 Akan sampai saatnya, malah sudahpun sampai, penyembah sejati akan menyembah Bapa dalam roh dan kebenaran; kerana Bapa menghendaki penyembah yang sedemikian.
24 Allah itu Roh, maka orang yang menyembah Dia harus menyembah-Nya dalam roh dan kebenaran.’
25 Perempuan itu berkata, ‘Aku tahu Mesias yang disebut al-Masih akan datang. Apabila Dia datang, Dia akan memberitahu kami segala-galanya.’
26 Isa berkata kepada perempuan itu, ‘Akulah Dia yang sekarang bercakap denganmu.’
27 Pada ketika itu para pengikut Isa pulang ke situ. Mereka hairan melihat Isa bercakap dengan seorang perempuan tetapi seorang pun tidak bertanya kepada perempuan itu, ‘Apa hajatmu?’ atau kepada Isa, ‘Mengapa Engkau bercakap dengan perempuan ini?’
28 Perempuan itu pun meninggalkan bekas airnya di situ lalu pergi ke bandar memberitahu orang di sana apa yang telah berlaku.
29 Perempuan itu berkata, ‘Marilah lihat seorang yang menyebutkan kepadaku segala yang telah kulakukan. Mungkinkah orang itu al-Masih?’
30 Dengan demikian, orang di bandar pun pergi mendapatkan Isa.
31 Sementara itu, para pengikut Isa berkata kepada-Nya, ‘Tuan Guru, silalah makan.’
32 Isa menjawab, ‘Aku ada makanan yang tidak kamu ketahui.’
33 Lalu para pengikut Isa tertanya-tanya sesama sendiri, ‘Adakah sesiapa datang membawakan-Nya makanan tadi?’
34 Isa berkata, ‘Makanan-Ku itu melaksanakan kehendak Dia yang mengutus-Ku dan menyelesaikan pekerjaan-Nya.
35 Bukankah kamu berkata, “Empat bulan lagi barulah tiba musim menuai?” Tetapi Aku berkata kepadamu, lihatlah ladang yang sudah menguning, sedia untuk dituai.
36 Orang yang menuai akan menerima upah dan mendapat hasil untuk hidup kekal. Dengan demikian, penyemai benih dan penuai akan bergembira bersama-sama.
37 Dalam hal ini benarlah pepatah, “Ada yang menyemai, ada pula yang menuai.”
38 Aku menyuruhmu menuai ladang yang bukan hasil usahamu. Orang lain yang mengerjakannya, kamu yang mendapat hasilnya.’
Yahya 4 in Kitab Suci Zabur dan Injil