Text copied!
Bibles in Malay (individual language)

Yahya 3:8-27 in Malay (individual language)

Help us?

Yahya 3:8-27 in Kitab Suci Zabur dan Injil

8 Angin bertiup semahunya. Kita mendengar bunyinya, tetapi tidak tahu dari mana datangnya dan ke mana perginya. Demikianlah juga dengan orang yang dilahirkan oleh Roh Suci.’
9 Nikodemus bertanya, ‘Bagaimana hal itu boleh berlaku?’
10 Isa menjawab, ‘Kamu pengajar bangsa Israel dan kamu tidak mengetahui hal ini?
11 Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, apa yang kami ketahui, itulah yang kami katakan, dan apa yang telah kami lihat, itulah yang kami saksikan, tetapi kamu tidak mahu menerimanya.
12 Jika kamu tidak percaya ketika Aku bercakap tentang hal-hal dunia, bagaimana mungkin kamu percaya sekiranya Aku bercakap tentang hal-hal syurga?
13 Tiada seorang pun pernah naik ke syurga, kecuali Putera Insan yang turun dari syurga.
14 Sebagaimana ular diangkat oleh Musa di gurun, begitulah Putera Insan akan diangkat
15 supaya semua yang percaya kepada-Nya mendapat hidup yang kekal.
16 ‘Allah begitu mengasihi umat manusia sehingga menganugerahkan Putera-Nya yang tunggal supaya orang yang percaya kepada Putera itu tidak binasa tetapi mendapat hidup kekal.
17 Allah mengutus Putera-Nya ke dunia bukan untuk menghakimi dunia tetapi supaya melalui Dia, dunia ini diselamatkan.
18 Sesiapa yang percaya kepada-Nya tidak dijatuhi hukuman. Sebaliknya, sesiapa yang tidak percaya sudahpun dijatuhi hukuman, kerana dia tidak percaya dalam nama Putera Allah yang tunggal.
19 Penghakiman berdasarkan hal ini: Cahaya sudah datang ke dunia, tetapi manusia lebih suka akan kegelapan kerana mereka berbuat jahat.
20 Orang yang berbuat jahat benci akan cahaya dan tidak mahu mendekatinya kerana takut perbuatan jahatnya terdedah.
21 Tetapi orang yang berbuat benar merapati cahaya, supaya jelas bahawa perbuatannya dilakukan melalui Allah.’
22 Selepas itu, Isa dan para pengikut-Nya pergi ke wilayah Yudea. Isa tinggal bersama mereka di sana dan mengimadkan orang.
23 Yahya pula mengimadkan di Ainon, tidak berapa jauh dari Salim, kerana di situ ada banyak air. Orang datang kepadanya dan dia mengimadkan mereka.
24 Pada masa itu, Yahya belum lagi dimasukkan ke dalam penjara.
25 Pada suatu hari tercetus pertengkaran antara sebilangan pengikut Yahya dan seorang Yahudi tentang istiadat penyucian.
26 Mereka pergi kepada Yahya dan berkata, ‘Tuan Guru, seorang yang bersama Tuan Guru di seberang Sungai Yordan dulu, orang yang Tuan Guru tunjukkan kepada kami, Dia mengimadkan orang dan semua orang pergi kepada-Nya.’
27 Yahya menjawab, ‘Seseorang tidak mungkin menerima sesuatu kecuali diberi kepadanya dari syurga.
Yahya 3 in Kitab Suci Zabur dan Injil