18 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sewaktu muda kamu mengikat tali pinggangmu lalu pergi ke mana-mana yang kamu mahu. Tetapi semasa tua nanti, kamu akan menghulurkan tangan dan orang akan mengikat lalu membawamu ke tempat yang kamu tidak mahu pergi.’
19 Kata-kata Isa ini membayangkan bagaimana Petrus akan mati untuk memuliakan Allah. Isa pun berkata kepada Petrus, ‘Ikutlah Aku!’
20 Petrus menoleh lalu melihat pengikut yang dikasihi oleh Isa sedang mengikut mereka. Pengikut itulah yang duduk dekat dengan Isa ketika makan malam dahulu dan bertanya kepada-Nya, ‘Junjungan, siapakah yang akan mengkhianati-Mu?’
21 Ketika melihatnya, Petrus bertanya kepada Isa, ‘Junjungan, bagaimana dengan orang ini?’
22 Isa menjawab, ‘Sekiranya Aku mahu dia tetap ada hingga Aku datang kembali, apa kena-mengenanya denganmu? Kamu ikutlah Aku.’
23 Oleh itu tersebarlah di kalangan pengikut Isa bahawa pengikut tersebut tidak akan mati. Tetapi Isa tidak berkata bahawa pengikut itu tidak akan mati. Isa berkata, ‘Sekiranya Aku mahu dia tetap ada hingga Aku datang kembali, apa kena-mengenanya denganmu?’
24 Pengikut itulah yang memberikan kesaksian tentang hal-hal ini. Dialah yang menuliskan semua ini dan kita tahu kesaksiannya itu benar.
25 Ada banyak lagi perkara lain yang dilakukan oleh Isa. Andainya dituliskan segala-galanya, aku rasa seluruh dunia ini pun tidak cukup untuk memuatkan semua kitab itu.