14 Firman itu menjadi manusia dan hidup di kalangan kita. Kita melihat kemuliaan-Nya sebagai Putera tunggal yang datang daripada Allah Bapa, penuh dengan kasih kurnia dan kebenaran.
15 Yahya memberi kesaksian tentang-Nya. Dia berseru, ‘Inilah Dia yang kukatakan akan datang selepasku, tetapi Dia lebih besar daripadaku, kerana Dia sudah ada sebelum aku.’
16 Daripada limpah kesempurnaan-Nya kita semua telah menerima kasih kurnia dan berkat.
17 Ini kerana hukum Taurat disampaikan melalui Musa, tetapi kasih kurnia dan kebenaran dinyatakan melalui Isa al-Masih.
18 Tiada siapa pernah melihat Allah, melainkan Yang Esa dan Ilahi yang ada di pangkuan Bapa, telah menyerlahkan-Nya.
19 Inilah kesaksian Yahya, apabila orang Yahudi di Baitulmaqdis mengutus para imam dan orang Lewi untuk bertanya kepadanya, ‘Siapakah kamu?’
20 Yahya mengaku, ‘Aku bukanlah al-Masih’.
21 Mereka bertanya, ‘Jadi, kamu ini siapa? Ilyas?’ ‘Bukan,’ jawabnya. ‘Adakah kamu nabi?’ Dia menjawab, ‘Bukan.’
22 Kemudian mereka berkata, ‘Siapakah kamu? Katakanlah, supaya kami dapat menyampaikan jawapan kepada orang yang mengutus kami. Menurut katamu sendiri, kau ini siapa?’
23 Yahya menjawab, ‘Aku ini satu suara yang berseru di gurun, “Luruskanlah jalan untuk Tuhan,” sebagaimana kata Nabi Yasyaya.’
24 Di antara orang yang diutus itu ada beberapa orang Farisi.
25 Mereka terus menyoal, ‘Mengapakah kamu mengimadkan orang, kiranya kamu bukan al-Masih, bukan Ilyas dan bukan pula nabi?’