6 Apabila ketua-ketua imam dan pegawai-pegawai melihat-Nya, mereka berteriak, ‘Salibkan Dia! Salibkan Dia!’ Pilatus berkata kepada mereka, ‘Kamu ambil dan saliblah Dia; kerana aku mendapati-Nya tidak bersalah sama sekali.’
7 Orang Yahudi itu menjawab, ‘Kami ada undang-undang, dan menurut undang-undang itu Dia patut dihukum mati, kerana Dia mengaku diri-Nya Putera Allah.’
8 Apabila mendengar kata-kata itu, Pilatus semakin takut.
9 Dia masuk semula ke istana dan bertanya kepada Isa, ‘Dari manakah Kamu ini?’ Tetapi Isa tidak menjawab.
10 Kemudian Pilatus berkata kepada-Nya, ‘Kamu tidak menjawab soalanku? Tidakkah kamu tahu aku berkuasa untuk menyalib-Mu atau membebaskan-Mu?’
11 Isa menjawab, ‘Kamu tidak mungkin mempunyai kuasa langsung ke atas-Ku kecuali diberikan kepadamu dari atas; maka yang menyerahkan-Ku kepadamu itu lebih besar dosanya.’
12 Selepas itu Pilatus cuba membebaskan-Nya, tetapi orang Yahudi berseru, ‘Jika kamu membebaskan orang ini, kamu bukanlah penyokong Kaisar; kerana sesiapa yang mengaku dirinya raja bercakap menentang Kaisar.’
13 Ketika Pilatus mendengar kata-kata demikian, dia pun membawa Isa, lalu duduk di kerusi pengadilan di tempat yang disebut ‘Laman Batu’, dalam bahasa Ibrani Gabbatha.
14 Pada waktu itu persediaan sedang dibuat untuk perayaan Paska, kira-kira jam keenam. Pilatus berkata kepada orang Yahudi, ‘Lihatlah Raja kamu!’