14 Pada waktu itu persediaan sedang dibuat untuk perayaan Paska, kira-kira jam keenam. Pilatus berkata kepada orang Yahudi, ‘Lihatlah Raja kamu!’
15 Tetapi mereka berseru, ‘Bawa Dia pergi! Bawa Dia pergi! Salibkan Dia!’ Pilatus berkata kepada mereka, ‘Adakah kamu mahu aku salib Rajamu?’ Ketua-ketua imam menjawab, ‘Kami tidak ada raja selain Kaisar.’
16 Oleh itu Pilatus pun menyerahkan Isa kepada mereka untuk disalib.
17 Lalu mereka mengambil-Nya dan membawa-Nya pergi. Isa pun mengangkat salib-Nya dan pergi ke suatu tempat yang dipanggil Tempat Tengkorak, yang dalam bahasa Ibrani disebut Golgota.
18 Di situ mereka menyalib-Nya, bersama dua orang lain di kiri kanan-Nya.
19 Pilatus memerintahkan supaya satu catatan ditulis dan diletakkannya di atas salib itu. Tulisan itu berbunyi: ISA ORANG NASARET, RAJA ORANG YAHUDI.
20 Ramai orang Yahudi membaca tulisan itu, kerana tempat Isa disalib itu dekat dengan kota, dan tulisan itu dalam bahasa Ibrani, Yunani dan Latin.
21 Ketua-ketua imam Yahudi pula berkata kepada Pilatus, ‘Janganlah tulis: “Raja Orang Yahudi.” Tetapi, tulislah: “Dia berkata Dia raja orang Yahudi.” ’
22 Pilatus menjawab, ‘Apa yang sudah kutulis itu sudah kutulis.’
23 Setelah menyalib Isa, askar-askar mengambil pakaian-Nya, dibahagi empat, sebahagian untuk setiap askar. Mereka mengambil jubah-Nya juga. Jubah itu tidak berkelim, seluruhnya dianyam dari atas.