Text copied!
Bibles in Malay (individual language)

Yahya 19:12-42 in Malay (individual language)

Help us?

Yahya 19:12-42 in Kitab Suci Zabur dan Injil

12 Selepas itu Pilatus cuba membebaskan-Nya, tetapi orang Yahudi berseru, ‘Jika kamu membebaskan orang ini, kamu bukanlah penyokong Kaisar; kerana sesiapa yang mengaku dirinya raja bercakap menentang Kaisar.’
13 Ketika Pilatus mendengar kata-kata demikian, dia pun membawa Isa, lalu duduk di kerusi pengadilan di tempat yang disebut ‘Laman Batu’, dalam bahasa Ibrani Gabbatha.
14 Pada waktu itu persediaan sedang dibuat untuk perayaan Paska, kira-kira jam keenam. Pilatus berkata kepada orang Yahudi, ‘Lihatlah Raja kamu!’
15 Tetapi mereka berseru, ‘Bawa Dia pergi! Bawa Dia pergi! Salibkan Dia!’ Pilatus berkata kepada mereka, ‘Adakah kamu mahu aku salib Rajamu?’ Ketua-ketua imam menjawab, ‘Kami tidak ada raja selain Kaisar.’
16 Oleh itu Pilatus pun menyerahkan Isa kepada mereka untuk disalib.
17 Lalu mereka mengambil-Nya dan membawa-Nya pergi. Isa pun mengangkat salib-Nya dan pergi ke suatu tempat yang dipanggil Tempat Tengkorak, yang dalam bahasa Ibrani disebut Golgota.
18 Di situ mereka menyalib-Nya, bersama dua orang lain di kiri kanan-Nya.
19 Pilatus memerintahkan supaya satu catatan ditulis dan diletakkannya di atas salib itu. Tulisan itu berbunyi: ISA ORANG NASARET, RAJA ORANG YAHUDI.
20 Ramai orang Yahudi membaca tulisan itu, kerana tempat Isa disalib itu dekat dengan kota, dan tulisan itu dalam bahasa Ibrani, Yunani dan Latin.
21 Ketua-ketua imam Yahudi pula berkata kepada Pilatus, ‘Janganlah tulis: “Raja Orang Yahudi.” Tetapi, tulislah: “Dia berkata Dia raja orang Yahudi.” ’
22 Pilatus menjawab, ‘Apa yang sudah kutulis itu sudah kutulis.’
23 Setelah menyalib Isa, askar-askar mengambil pakaian-Nya, dibahagi empat, sebahagian untuk setiap askar. Mereka mengambil jubah-Nya juga. Jubah itu tidak berkelim, seluruhnya dianyam dari atas.
24 Oleh itu mereka berkata-kata sesama sendiri, ‘Janganlah kita koyakkan. Kita buang undi untuk menentukan siapa yang dapat.’ Dengan demikian berlakulah apa yang tersurat di dalam Kitab Suci: ‘Mereka membahagikan pakaian-Ku antara mereka, dan untuk mendapat jubah-Ku mereka membuang undi.’ Begitulah yang dilakukan oleh askar-askar itu.
25 Di tepi salib Isa berdiri ibu-Nya, dan saudara perempuan ibu-Nya, Maryam isteri Klopas, dan Maryam Magdalena.
26 Apabila Isa melihat ibu-Nya dan pengikut-Nya yang dikasihi berdiri di situ, Dia pun berkata kepada ibu-Nya, ‘Lihat, itulah anakmu.’
27 Kepada pengikut-Nya Dia berkata, ‘Lihatlah ibumu.’ Sejak itu pengikut tersebut mengambil ibu Isa sebagai ibunya dan membawanya tinggal di rumahnya.
28 Selepas itu, Isa yang mengetahui bahawa segala-galanya telah berlaku sebagaimana tersurat di dalam Kitab Suci, lalu berkata, ‘Aku dahaga.’
29 Di situ ada sebuah bekas berisi air anggur masam. Lalu mereka memenuhkan sebuah sepan dengan air anggur masam itu, meletakkannya di atas sebuah batang zufa dan mencecahkannya ke mulut Isa.
30 Setelah Isa menerima air anggur masam itu, Dia berkata, ‘Sudah selesai’. Dia menundukkan kepala lalu menyerahkan nyawa-Nya.
31 Oleh sebab hari itu hari persediaan dan mayat-mayat itu tidak sewajarnya masih ada di atas salib pada hari Sabat (kerana hari Sabat itu hari mulia), orang Yahudi meminta kepada Pilatus agar mayat-mayat itu dipatahkan kakinya dan dibawa pergi.
32 Askar-askar pun datang mematahkan kaki orang yang disalib bersama Isa itu, seorang demi seorang.
33 Tetapi apabila mereka sampai kepada Isa dan melihat Dia sudah tidak bernyawa lagi, mereka pun tidak mematahkan kaki-Nya.
34 Tetapi seorang askar itu menikam rusuk-Nya dengan lembing, lalu keluarlah darah dan air.
35 Maka dia yang melihatnya merakamkan sebagai kesaksian, dan rakamannya itu benar. Dia tahu bahawa dia bercakap benar, supaya kamu percaya.
36 Semua ini dilakukan supaya berlakulah yang tersurat di dalam Kitab Suci, ‘Tidak satu pun tulang-Nya akan dipatahkan’.
37 Juga tersurat di dalam Kitab Suci, ‘Mereka akan memandang Dia yang telah ditikam oleh mereka.’
38 Selepas itu, Yusuf yang berasal dari Arimatea meminta izin daripada Pilatus untuk mengambil jenazah Isa. Yusuf ialah seorang pengikut Isa secara diam-diam kerana takut akan ketua orang Yahudi. Dengan izin Pilatus, maka dia datang dan mengambil jenazah Isa.
39 Nikodemus, yang pernah mendapatkan Isa pada suatu malam dahulu, pergi bersama Yusuf membawa ramuan mur dan gaharu sebanyak kira-kira seratus paun.
40 Mereka mengambil jenazah Isa lalu mengkafankannya dengan kain kafan dan ramuan mengikut adat pengebumian orang Yahudi.
41 Di sebuah taman di tempat Isa disalib terdapat sebuah makam yang belum pernah digunakan.
42 Oleh sebab makam itu dekat dan hari itu hari persediaan orang Yahudi, mereka pun memasukkan jenazah Isa ke dalamnya.
Yahya 19 in Kitab Suci Zabur dan Injil