Text copied!
Bibles in Malay (individual language)

Yahya 12:34-46 in Malay (individual language)

Help us?

Yahya 12:34-46 in Kitab Suci Zabur dan Injil

34 Orang ramai berkata kepada Isa, ‘Di dalam hukum Taurat ada tersurat bahawa al-Masih yang diutus Allah akan hidup selama-lamanya. Bagaimana kamu pula mengatakan bahawa Putera Insan akan diangkat tinggi di atas bumi? Siapakah Putera Insan itu?’
35 Isa menjawab, ‘Cahaya itu akan menyertaimu sebentar sahaja lagi. Teruslah berjalan selagi ada cahaya itu sebelum kegelapan menyelubungimu. Seseorang yang berjalan dalam kegelapan tidak tahu ke mana arah tujuannya.
36 Selagi ada cahaya itu menyertaimu, percayalah kepadanya, supaya kamu menjadi anak-anak cahaya.’ Setelah berkata-kata demikian, Isa meninggalkan tempat itu lalu bersembunyi daripada mereka.
37 Mereka tetap tidak percaya kepada-Nya walaupun telah banyak melihat mukjizat-Nya.
38 Dengan demikian berlakulah nubuat Nabi Yasyaya: ‘Ya Tuhan, siapakah yang percaya akan perkhabaran kami? Kepada siapakah tangan Tuhan ditunjukkan?’
39 Itulah maka mereka tidak percaya, sebagaimana kata Yasyaya lagi:
40 ‘Dia telah membutakan mata mereka dan menjadikan mereka keras hati, supaya mata mereka tidak dapat melihat, dan hati mereka tidak dapat mengerti, lalu mereka tidak berpaling kepada-Ku untuk Kusembuhkan.’
41 Yasyaya berkata demikian kerana dia telah melihat kemuliaan-Nya serta berkata-kata tentang-Nya.
42 Sebenarnya banyak juga pemerintah yang percaya kepada Isa. Namun, disebabkan orang Farisi itu, mereka tidak berani mengakui-Nya secara terbuka kerana takut disingkirkan daripada saumaah.
43 Mereka lebih mencintai pujian manusia daripada pujian Allah.
44 Isa berseru, ‘Sesiapa yang percaya kepada-Ku, juga percaya kepada Dia yang mengutus-Ku.
45 Sesiapa yang melihat-Ku, juga melihat Dia yang mengutus-Ku.
46 Aku datang ke dunia ini sebagai cahaya, supaya manusia yang percaya kepada-Ku tidak akan terus tinggal dalam kegelapan.
Yahya 12 in Kitab Suci Zabur dan Injil