Text copied!
Bibles in Malay (individual language)

Yahya 12:21-36 in Malay (individual language)

Help us?

Yahya 12:21-36 in Kitab Suci Zabur dan Injil

21 Mereka mendapatkan Filipus, yang berasal dari Betsaida di Galilea, lalu berkata, ‘Tuan, kami ingin bertemu dengan Isa.’
22 Filipus pun memberitahu Andreas lalu mereka berdua pergi menyampaikan hal itu kepada Isa.
23 Isa berkata kepada mereka, ‘Sudah sampai masanya Putera Insan dimuliakan.
24 Sesungguhnya Aku berkata kepadamu: Jika benih gandum tidak jatuh di tanah lalu mati, benih gandum itu hanyalah benih. Tetapi sekiranya benih itu mati, benih itu akan banyak menghasilkan buah.
25 Orang yang sayangkan hidupnya akan kehilangan hidup itu. Tetapi orang yang tidak sayangkan hidupnya di dunia ini akan mendapat hidup yang kekal.
26 Sesiapa yang ingin mengabdi kepada-Ku mesti mengikut-Ku, dan di mana Aku berada, di situlah juga abdi-Ku. Orang yang mengabdi kepada-Ku akan dihormati oleh Bapa.
27 ‘Hati-Ku resah. Apa yang akan Kukatakan? Patutkah Aku berkata, “Bapa, jauhkanlah aku daripada saat penderitaan ini?” Namun, sebab itulah Aku datang menghadap saat ini.
28 Bapa, tunjukkanlah kemuliaan-Mu!’ Ketika itu kedengaran suara dari langit berkata, ‘Aku sudah menunjukkan kemuliaan-Ku dan Aku akan menunjukkannya lagi.’
29 Antara orang ramai yang mendengar suara itu, ada yang berkata, ‘Guruh.’ Tetapi ada pula yang berkata, ‘Bukan. Malaikat bercakap kepada-Nya.’
30 Isa berkata kepada mereka, ‘Suara itu kedengaran bukan demi kepentingan-Ku tetapi demi kepentinganmu.
31 Sudah sampailah masanya dunia ini dihakimi. Kini pemerintah dunia ini akan digulingkan.
32 Apabila Aku diangkat tinggi di atas bumi, Aku akan menarik semua manusia kepada-Ku.’
33 Kata-kata Isa ini membayangkan cara kematian-Nya kelak.
34 Orang ramai berkata kepada Isa, ‘Di dalam hukum Taurat ada tersurat bahawa al-Masih yang diutus Allah akan hidup selama-lamanya. Bagaimana kamu pula mengatakan bahawa Putera Insan akan diangkat tinggi di atas bumi? Siapakah Putera Insan itu?’
35 Isa menjawab, ‘Cahaya itu akan menyertaimu sebentar sahaja lagi. Teruslah berjalan selagi ada cahaya itu sebelum kegelapan menyelubungimu. Seseorang yang berjalan dalam kegelapan tidak tahu ke mana arah tujuannya.
36 Selagi ada cahaya itu menyertaimu, percayalah kepadanya, supaya kamu menjadi anak-anak cahaya.’ Setelah berkata-kata demikian, Isa meninggalkan tempat itu lalu bersembunyi daripada mereka.
Yahya 12 in Kitab Suci Zabur dan Injil