Text copied!
Bibles in Malay (individual language)

Yahya 11:6-40 in Malay (individual language)

Help us?

Yahya 11:6-40 in Kitab Suci Zabur dan Injil

6 Tetapi apabila Dia mendapat berita Lazarus sakit, Dia sengaja tinggal di tempat itu dua hari lagi.
7 Kemudian Dia berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Marilah kita pulang ke Yudea.’
8 Para pengikut-Nya menjawab, ‘Tuan Guru, bukankah orang Yahudi di situ baru saja hendak merejam-Mu? Sekarang Engkau hendak pulang ke situ?’
9 Isa berkata, ‘Bukankah waktu siang dua belas jam lamanya? Orang yang berjalan pada waktu siang tidak akan tersandung kakinya, kerana masih ada cahaya di dunia ini.
10 Tetapi jika dia berjalan pada waktu malam, kakinya akan tersandung kerana sudah tiada cahaya lagi.’
11 Kemudian Isa menambah, ‘Sahabat kita Lazarus sedang tidur. Aku akan pergi membangunkannya.’
12 Para pengikut Isa berkata, ‘Junjungan, sekiranya Lazarus tidur, dia akan sembuh.’
13 Yang dimaksudkan oleh Isa ialah Lazarus sudah meninggal dunia, tetapi para pengikut-Nya mengambil erti tidur yang biasa.
14 Oleh itu, Isa berkata kepada mereka dengan jelas, ‘Lazarus sudah meninggal.
15 Tetapi, untuk kebaikanmu, Aku bersyukur Aku tidak bersamanya ketika itu. Dengan demikian kamu akan percaya kepada-Ku. Marilah kita pergi kepadanya.’
16 Tomas yang disebut Didimus berkata kepada pengikut Isa yang lain. ‘Ya, marilah kita pergi juga supaya kita mati bersama-Nya!’
17 Ketika Isa sampai, Dia mendapati Lazarus sudah empat hari di dalam makam.
18 Baitani terletak kira-kira dua batu daripada Baitulmaqdis.
19 Oleh itu ramai orang Yahudi datang melawat Maryam dan Marta untuk melipurkan hati mereka yang duka kerana kematian Lazarus.
20 Apabila Marta mendengar Isa datang, dia terus pergi untuk menyambut-Nya, manakala Maryam tinggal di rumah.
21 Marta berkata kepada Isa, ‘Ya Junjungan, kalaulah Junjungan ada di sini pada waktu itu, tentu saudaraku masih hidup!
22 Aku tahu, sekarang pun apa saja permintaan Junjungan akan dikabulkan Allah.’
23 Isa berkata kepada Marta, ‘Saudaramu akan hidup kembali.’
24 Marta menjawab, ‘Aku tahu Lazarus akan hidup kembali pada hari akhir.’
25 Isa berkata kepada Marta, ‘Akulah kebangkitan dan hidup. Sesiapa yang percaya kepada-Ku akan hidup, meskipun dia sudah mati.
26 Orang hidup yang percaya kepada-Ku tidak akan mati selama-lamanya. Percayakah kamu?’
27 Marta menjawab, ‘Ya Junjungan, aku percaya bahawa Junjungan adalah al-Masih, Putera Allah, yang diutus oleh Allah, dan yang akan datang ke dunia ini.’
28 Setelah itu, Marta pergi memanggil saudaranya Maryam dan berbisik kepadanya, ‘Guru ada di sini. Dia memanggilmu.’
29 Maryam pun segera bangun lalu pergi untuk berjumpa Isa.
30 (Pada waktu itu Isa belum sampai di kampung mereka. Dia masih di tempat Marta menyambut-Nya.)
31 Apabila orang Yahudi yang ada di rumah Maryam untuk melipurkan hatinya itu melihat dia segera bangun lalu keluar, mereka pun mengikutnya kerana menyangka dia hendak ke makam Lazarus untuk menangisinya.
32 Setelah Maryam melihat Isa, dia berlutut di kaki-Nya lalu berkata, ‘Junjungan, kalaulah Engkau ada di sini pada waktu itu, tentu saudaraku masih hidup!’
33 Ketika melihat Maryam menangis dan semua orang Yahudi yang bersamanya, turut mengalirkan air mata, Isa sungguh hiba dan terharu.
34 Dia bertanya kepada mereka, ‘Di manakah kamu letakkan dia?’ Mereka menjawab, ‘Marilah lihat, Ya Junjungan.’
35 Isa menangis.
36 Semua orang Yahudi yang hadir berkata, ‘Lihatlah! Dia sungguh kasih akan Lazarus.’
37 Namun, ada yang berkata, ‘Dia dapat mencelikkan orang buta. Tidakkah Dia dapat mengelakkan kematian Lazarus?’
38 Isa yang masih terharu pergi ke makam Lazarus, iaitu sebuah gua yang ditutup dengan batu besar.
39 Isa berkata, ‘Alihkan batu itu.’ Tetapi Marta berkata, ‘Junjungan, sudah empat hari dia dimakamkan, tentu berbau.’
40 Isa berkata kepada Marta, ‘Bukankah sudah Kukatakan kepadamu, kalau kamu percaya, kamu dapat melihat kemuliaan Allah?’
Yahya 11 in Kitab Suci Zabur dan Injil