20 Apabila Marta mendengar Isa datang, dia terus pergi untuk menyambut-Nya, manakala Maryam tinggal di rumah.
21 Marta berkata kepada Isa, ‘Ya Junjungan, kalaulah Junjungan ada di sini pada waktu itu, tentu saudaraku masih hidup!
22 Aku tahu, sekarang pun apa saja permintaan Junjungan akan dikabulkan Allah.’
23 Isa berkata kepada Marta, ‘Saudaramu akan hidup kembali.’
24 Marta menjawab, ‘Aku tahu Lazarus akan hidup kembali pada hari akhir.’
25 Isa berkata kepada Marta, ‘Akulah kebangkitan dan hidup. Sesiapa yang percaya kepada-Ku akan hidup, meskipun dia sudah mati.
26 Orang hidup yang percaya kepada-Ku tidak akan mati selama-lamanya. Percayakah kamu?’
27 Marta menjawab, ‘Ya Junjungan, aku percaya bahawa Junjungan adalah al-Masih, Putera Allah, yang diutus oleh Allah, dan yang akan datang ke dunia ini.’
28 Setelah itu, Marta pergi memanggil saudaranya Maryam dan berbisik kepadanya, ‘Guru ada di sini. Dia memanggilmu.’
29 Maryam pun segera bangun lalu pergi untuk berjumpa Isa.
30 (Pada waktu itu Isa belum sampai di kampung mereka. Dia masih di tempat Marta menyambut-Nya.)
31 Apabila orang Yahudi yang ada di rumah Maryam untuk melipurkan hatinya itu melihat dia segera bangun lalu keluar, mereka pun mengikutnya kerana menyangka dia hendak ke makam Lazarus untuk menangisinya.
32 Setelah Maryam melihat Isa, dia berlutut di kaki-Nya lalu berkata, ‘Junjungan, kalaulah Engkau ada di sini pada waktu itu, tentu saudaraku masih hidup!’
33 Ketika melihat Maryam menangis dan semua orang Yahudi yang bersamanya, turut mengalirkan air mata, Isa sungguh hiba dan terharu.
34 Dia bertanya kepada mereka, ‘Di manakah kamu letakkan dia?’ Mereka menjawab, ‘Marilah lihat, Ya Junjungan.’
35 Isa menangis.
36 Semua orang Yahudi yang hadir berkata, ‘Lihatlah! Dia sungguh kasih akan Lazarus.’
37 Namun, ada yang berkata, ‘Dia dapat mencelikkan orang buta. Tidakkah Dia dapat mengelakkan kematian Lazarus?’
38 Isa yang masih terharu pergi ke makam Lazarus, iaitu sebuah gua yang ditutup dengan batu besar.
39 Isa berkata, ‘Alihkan batu itu.’ Tetapi Marta berkata, ‘Junjungan, sudah empat hari dia dimakamkan, tentu berbau.’
40 Isa berkata kepada Marta, ‘Bukankah sudah Kukatakan kepadamu, kalau kamu percaya, kamu dapat melihat kemuliaan Allah?’
41 Mereka mengalihkan batu itu. Isa menengadah ke langit lalu berkata, ‘Ya Bapa, Aku bersyukur kepada-Mu kerana Engkau mendengar permintaan-Ku.
42 Aku tahu Engkau memang sentiasa mendengar permintaan-Ku. Aku menyebutnya untuk kebaikan semua orang di sini, supaya mereka percaya Engkau mengutus-Ku.’
43 Selepas itu, Isa berseru lantang, ‘Lazarus, keluar!’
44 Lazarus pun keluar. Tangan dan kakinya masih berbalut kain kafan, mukanya masih dilitupi kain penutup muka. Isa berkata kepada orang ramai di situ, ‘Lucutkan kain kafannya dan lepaskan dia.’
45 Sebilangan besar orang yang datang melawat Maryam dan melihat apa yang dilakukan oleh Isa terus percaya kepada-Nya.
46 Namun, ada yang pulang mendapatkan orang Farisi dan melaporkan hal itu.
47 Oleh yang demikian, orang Farisi dan ketua imam mengadakan mesyuarat Majlis Agama. Mereka berkata, ‘Apakah yang patut kita buat? Lihatlah, orang itu banyak melakukan mukjizat!
48 Jika kita biarkan Dia terus melakukannya, semua orang akan percaya kepada-Nya. Nanti orang Rom akan datang memusnahkan kedudukan dan bangsa kita!’
49 Salah seorang daripada mereka bernama Kayafas, seorang imam besar pada tahun itu, berkata pula, ‘Kamu semua tidak tahu suatu apapun.