7 Terimalah satu sama lain, sebagaimana al-Masih telah menerima kita, demi kemuliaan Allah.
8 Sekarang aku berkata kepadamu bahawa Isa al-Masih telah menjadi hamba kepada umat yang bersunat demi kebenaran Allah, untuk meneguhkan janji yang telah dibuat kepada nenek moyang kita,
9 dan supaya bangsa-bangsa lain juga memuliakan Allah kerana belas kasihan-Nya, sebagaimana telah tersurat: ‘Kerana itulah Aku akan memuliakan-Mu dalam kalangan bangsa-bangsa lain, menyanyikan pujian bagi nama-Mu.’
10 Seterusnya dikatakan lagi: ‘Bergembiralah, semua bangsa, bersama umat-Nya!’
11 Kemudian, ‘Pujilah Tuhan, hai semua bangsa! Pujilah Dia, hai kamu semua manusia!’
12 Yasyaya menyampaikan juga: ‘Akan ada tunas dari Isai, Dialah yang bangkit memerintah semua bangsa, kepada-Nyalah semua bangsa akan menaruh harapan.’
13 Semoga Allah, sumber harapan, memenuhi hatimu dengan kegembiraan dan kesejahteraan dalam iman, supaya kamu dilimpahi harapan dengan kuasa Roh Suci.
14 Sekarang aku yakin tentangmu, saudara-saudaraku, bahawa kamu juga penuh dengan kebaikan dan pengetahuan serta dapat saling menasihati.
15 Namun begitu, saudara-saudaraku, aku telah menulis kepadamu dengan lebih tegas tentang hal-hal tertentu kerana kasih kurnia yang telah dikurniakan Allah kepadaku,
16 menjadikan aku hamba Isa al-Masih bagi bangsa-bangsa lain, menyampaikan berita baik daripada Allah, supaya persembahan bangsa-bangsa lain itu diterima Allah, disucikan oleh Roh Suci.
17 Dengan demikian aku dapat berbangga dalam Isa al-Masih tentang hal-hal berkaitan Allah.
18 Aku tidak akan berani bercakap tentang sesuatu selain yang telah dilakukan oleh al-Masih melaluiku, dengan kata-kata dan perbuatan, untuk menjadikan bangsa-bangsa lain itu taat,
19 dalam bentuk alamat dan keajaiban besar, dengan kuasa Roh Allah. Dari Baitulmaqdis dan sekitarnya sampai ke Ilirikum aku telah menyampaikan berita baik al-Masih.
20 Aku ingin menyampaikan berita baik ini ke tempat-tempat nama al-Masih belum disebut orang. Dengan demikian aku tidak membina di atas tapak yang telah diletakkan oleh orang lain.
21 Sebagaimana yang telah tersurat: ‘Mereka yang belum pernah mendapat khabar tentang-Nya akan melihat, dan mereka yang belum pernah mendengar akan mengerti.’
22 Itulah sebabnya selalu sahaja tergendala hasratku hendak mengunjungimu.
23 Namun sekarang, kerana tiada lagi tempat bagiku di sini, dan sudah bertahun-tahun aku ingin melawatmu,