Text copied!
Bibles in Malay (individual language)

Markus 9:28-47 in Malay (individual language)

Help us?

Markus 9:28-47 in Kitab Suci Zabur dan Injil

28 Selepas itu Isa masuk ke rumah. Ketika tiada lagi orang lain di situ, para pengikut-Nya bertanya kepada-Nya, ‘Mengapa kami tidak dapat menghalau roh itu?’
29 Isa menjawab, ‘Jenis ini tidak dapat dihalau dengan cara apapun, kecuali dengan doa.’
30 Setelah itu Isa dan para pengikut-Nya beredar dari situ dan meneruskan perjalanan melalui Galilea. Dia tidak mahu orang tahu Dia di mana
31 kerana Dia sedang mengajar para pengikut-Nya. Dia berkata kepada mereka, ‘Putera Insan akan diserahkan ke dalam tangan manusia dan akan dibunuh, tetapi selepas tiga hari Dia akan bangkit semula.’
32 Mereka tidak faham erti kata-kata itu tetapi takut hendak bertanya kepada Isa.
33 Mereka tiba di Kapernaum. Setelah tiba di rumah, Isa bertanya kepada para pengikut-Nya, ‘Apa yang kamu persoalkan di jalan tadi?’
34 Mereka tidak menjawab, kerana dalam perjalanan mereka telah mempersoalkan siapa yang terbesar.
35 Isa duduk lalu memanggil pengikut-Nya yang dua belas itu. Dia berkata kepada mereka, ‘Kalau sesiapa ingin menjadi yang pertama, dia mestilah menjadi yang terakhir dan hamba kepada semua orang.’
36 Selepas itu Dia memanggil seorang kanak-kanak dan menyuruhnya berdiri di hadapan mereka semua. Dia mendakap kanak-kanak itu sambil berkata kepada mereka,
37 ‘Sesiapa yang menerima kanak-kanak seperti ini kerana-Ku, menerima-Ku. Sesiapa yang menerima-Ku, menerima Allah yang mengutus-Ku.’
38 Yahya berkata kepada Isa, ‘Tuan Guru, kami melihat seorang lelaki menghalau roh-roh iblis dengan nama-Mu, lalu kami larang dia, kerana dia bukan dalam kumpulan kita.’
39 Tetapi Isa berkata, ‘Jangan larang dia, kerana seseorang yang melakukan mukjizat dengan nama-Ku tidak mungkin mencela-Ku sejurus selepas itu.
40 Orang yang tidak menentang kita, memihak kepada kita.
41 Sesiapa yang memberimu secawan air dalam nama-Ku, kerana kamu pengikut al-Masih, sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, dia pasti akan mendapat ganjarannya.
42 ‘Tetapi sesiapa yang menyebabkan seorang daripada kanak-kanak yang percaya kepada-Ku ini berdosa, maka lebih baiklah baginya jika batu kisar diikatkan ke lehernya dan dia dicampakkan ke dalam laut.
43 Jika tanganmu menyebabkan kamu berdosa, potonglah tangan itu! Lebih baik kamu memasuki hidup dalam keadaan kudung sebelah tangan, daripada mempunyai dua tangan tetapi terhumban ke neraka, ke dalam api yang tidak terpadam.
44 Di sana cacingnya tidak akan mati dan apinya tidak akan padam.
45 Jika kakimu menyebabkan kamu berdosa, potonglah kaki itu. Lebih baik kamu memasuki hidup dalam keadaan pincang, daripada memiliki dua kaki tetapi terhumban ke neraka.
46 Di sana cacingnya tidak akan mati dan apinya tidak akan padam.
47 ‘Jika matamu menyebabkan kamu berdosa, cungkillah mata itu keluar. Lebih baik kamu memasuki kerajaan Allah dengan sebelah mata sahaja, daripada memiliki dua mata tetapi terhumban ke neraka.
Markus 9 in Kitab Suci Zabur dan Injil