Text copied!
Bibles in Malay (individual language)

Markus 8:12-33 in Malay (individual language)

Help us?

Markus 8:12-33 in Kitab Suci Zabur dan Injil

12 Isa mengeluh lalu menjawab, ‘Mengapakah orang zaman ini mencari suatu tanda ajaib? Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, tidak akan diberikan tanda apapun kepada orang zaman ini.’
13 Isa meninggalkan mereka dan kembali ke perahu lalu ke seberang.
14 Para pengikut Isa terlupa membawa roti yang mencukupi. Di dalam perahu itu cuma ada sebuku roti.
15 Isa mengingatkan mereka, ‘Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi dan ragi Herodes.’
16 Kemudian mereka membincangkannya satu sama lain dan berkata, ‘Dia berkata begitu kerana kita tidak membawa roti.’
17 Isa mengetahui apa yang mereka bincangkan lalu Dia bertanya, ‘Mengapa kamu memperbincangkan hal tidak membawa roti? Tidakkah kamu tahu dan faham lagi? Begitu tumpulkah fikiranmu?
18 Kamu ada mata, tidakkah kamu melihat? Kamu ada telinga, tidakkah kamu mendengar? Tidakkah kamu ingat
19 bagaimana Aku memecah-mecahkan lima buku roti untuk lima ribu orang? Berapa bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?’ ‘Dua belas,’ jawab mereka.
20 ‘Dan apabila Aku memecah-mecahkan tujuh buku roti untuk empat ribu orang, berapa bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?’ ‘Tujuh,’ jawab mereka.
21 Lalu Isa berkata kepada mereka, ‘Kamu masih belum faham lagi?’
22 Isa dan para pengikut-Nya tiba di Betsaida. Beberapa orang membawa seorang buta kepada Isa dan memohon agar Dia menyentuhnya.
23 Isa memegang tangan orang buta itu lalu memimpinnya ke luar dari pekan itu. Isa meludahi mata orang buta itu. Kemudian Dia meletakkan tangan-Nya pada orang itu lalu bertanya, ‘Adakah kamu melihat apa-apa?’
24 Orang itu memandang ke hadapan lalu berkata, ‘Aku nampak orang, rupa mereka seperti pokok berjalan.’
25 Sekali lagi Isa meletakkan tangan-Nya pada mata orang itu. Setelah orang itu berusaha untuk melihat, kali ini penglihatannya cukup terang dan matanya telah sembuh.
26 Isa pun menyuruhnya pulang sambil berkata, ‘Jangan masuk lagi ke pekan itu.’
27 Setelah itu Isa dan para pengikut-Nya pergi ke pekan-pekan di sekitar Kaisarea Filipi. Di tengah jalan Isa bertanya kepada mereka, ‘Menurut orang, Aku ini siapa?’
28 Mereka menjawab, ‘Ada yang berkata, Yahya Pengimad; yang lain berkata, Ilyas; ada pula yang berkata, seorang daripada nabi.’
29 ‘Tetapi menurut kamu, Aku ini siapa?’ tanya Isa. Petrus menjawab, ‘Engkau ialah al-Masih.’
30 Lalu Isa mengingatkan mereka supaya jangan memberitahu sesiapapun tentang diri-Nya.
31 Kemudian Isa mula mengajar mereka bahawa Putera Insan harus banyak menanggung kesengsaraan serta ditolak oleh para pemimpin masyarakat, ketua imam dan guru Taurat. Dia akan dibunuh, tetapi tiga hari kemudian, Dia akan bangkit semula.
32 Isa mengatakan perkara ini dengan terus-terang. Oleh itu, Petrus menarik Isa ke tepi dan menegur Dia.
33 Isa berpaling memandang para pengikut-Nya lalu menegur Petrus, ‘Pergilah dari sini, hai Iblis! Kamu tidak berfikir secara Allah, tetapi secara manusia.’
Markus 8 in Kitab Suci Zabur dan Injil