Text copied!
Bibles in Malay (individual language)

Markus 7:11-32 in Malay (individual language)

Help us?

Markus 7:11-32 in Kitab Suci Zabur dan Injil

11 Tetapi kamu memberikan ajaran berikut: Jika seseorang berkata kepada ibu bapanya, “Segala apa yang harus kugunakan untuk membantu ayah dan emak, sudah kujadikan korban” (iaitu telah dipersembahkan kepada Allah),
12 maka orang itu tidak perlu menolong ibu bapa.
13 Jadi, adat istiadat yang kamu sampaikan membatalkan firman Allah. Banyak lagi perkara sedemikian yang kamu lakukan.’
14 Isa memanggil orang ramai itu dan berkata kepada mereka, ‘Kamu semua, dengarlah supaya kamu faham.
15 Apa yang masuk dari luar ke dalam seseorang tidak dapat menajiskannya. Apa yang keluar daripada seseorang itulah yang menajiskannya.
16 Jika kamu bertelinga, dengarlah!’
17 Setelah Isa meninggalkan orang ramai itu dan masuk ke rumah, para pengikut-Nya bertanya kepada-Nya tentang maksud ibarat itu.
18 Isa berkata kepada mereka, ‘Kamu ini sama dengan mereka. Tidakkah kamu faham bahawa apa yang masuk dari luar ke dalam seseorang tidak dapat menajiskannya?
19 Kerana sesuatu itu tidak masuk ke hatinya tetapi ke dalam perutnya, kemudian keluar semula.’ (Dengan demikian Dia menyatakan semua makanan halal.)
20 Kata-Nya lagi: ‘Apa yang keluar daripada seseorang itu menajiskannya
21 kerana dari dalam, dari hati manusialah timbul fikiran jahat yang mendorong seseorang berfikiran durjana, berbuat cabul, mencuri, membunuh,
22 berzina, tamak, berdendam, menipu, mengeluarkan kata-kata lucah, bermata jahat, dengki, mengkufuri Allah, berlagak sombong, dan bersikap bodoh.
23 Semua perkara jahat ini timbul dari dalam hati dan itulah yang menajiskan seseorang.’
24 Kemudian Isa pergi dari situ ke kawasan berdekatan kota Tirus, lalu masuk ke sebuah rumah. Dia tidak mahu orang tahu Dia ada di situ tetapi Dia tidak dapat menyembunyikan diri.
25 Ibu kepada seorang anak perempuan yang dirasuk roh durjana telah mendengar tentang Isa lalu segera datang kepada-Nya dan sujud di hadapan-Nya.
26 Wanita itu seorang Yunani, dia berasal dari daerah Fenisia di Siria. Dia memohon Isa menghalau roh iblis yang merasuk anaknya.
27 Isa menjawab, ‘Anak-anak harus diberi makan dahulu. Tidak patut makanannya diambil untuk dilemparkan kepada anjing.’
28 ‘Benar, Tuan,’ jawab wanita itu, ‘tetapi anjing di bawah meja pun makan sisa yang dijatuhkan oleh anak-anak.’
29 Maka Isa berkata kepadanya, ‘Kerana jawapanmu itu, pulanglah. Roh iblis sudah keluar daripada tubuh anakmu.’
30 Apabila ibu itu pulang ke rumah, dia mendapati anaknya sedang berbaring di katil dan tidak lagi dirasuk roh iblis.
31 Selepas itu Isa meninggalkan daerah Tirus, meneruskan perjalanan ke Laut Galilea melalui Sidon, ke tengah-tengah daerah Sepuluh Kota.
32 Di sana seorang bisu tuli dibawa kepada-Nya dengan permohonan agar Isa meletakkan tangan padanya.
Markus 7 in Kitab Suci Zabur dan Injil