Text copied!
Bibles in Malay (individual language)

Markus 6:19-41 in Malay (individual language)

Help us?

Markus 6:19-41 in Kitab Suci Zabur dan Injil

19 Akibatnya Herodias menaruh dendam terhadap Yahya dan ingin membunuhnya, tetapi hasratnya terhalang,
20 sebab Herodes takut akan Yahya. Herodes tahu Yahya seorang yang benar dan suci, oleh itu dia melindungi Yahya. Herodes juga suka mendengar kata-kata Yahya, meskipun kata-kata itu membuatnya sangat gelisah.
21 Akhirnya Herodias mendapat peluang apabila Raja Herodes mengadakan jamuan hari jadinya untuk semua pegawai tinggi kerajaan, panglima dan tokoh masyarakat Galilea.
22 Anak gadis Herodias menari dan menghiburkan Herodes serta tetamunya. Oleh itu raja berkata kepada gadis itu, ‘Mintalah daripadaku apa saja yang kamu ingini dan akan kuberikan kepadamu.’
23 Dia menyambung dengan sumpah, ‘Apa sahaja yang kamu minta akan kuberi kepadamu, walau separuh kerajaanku sekalipun.’
24 Gadis itu pergi bertanya kepada ibunya, ‘Apakah yang patut kuminta?’ Jawabnya, ‘Kepala Yahya Pengimad.’
25 Gadis itu segera kembali kepada raja dan berkata, ‘Aku mahu kamu beri kepadaku kepala Yahya Pengimad di atas talam sekarang juga.’
26 Lalu raja amat berdukacita, tetapi apakan daya, dia telah bersumpah di hadapan semua tetamunya.
27 Dia pun memberikan perintah kepada askar supaya membawakan kepala Yahya. Askar itu pergi ke penjara lalu memancung kepala Yahya.
28 Dia membawa kepala itu di atas talam dan menyerahkannya kepada gadis itu. Lalu gadis itu menyerahkan kepala Yahya kepada ibunya.
29 Apabila para pengikut Yahya mendengar perkara itu, mereka datang dan mengambil jenazah Yahya lalu mengebumikannya.
30 Kemudian rasul-rasul kembali berkumpul dengan Isa dan melaporkan segala yang telah mereka lakukan serta ajarkan.
31 Orang yang datang dan pergi di situ begitu ramainya sehingga Isa dan para pengikut-Nya tidak sempat makan. Oleh itu, Isa berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Marilah ke tempat yang sunyi supaya kita dapat bersendirian, dan berehat sebentar.’
32 Mereka pun bertolak dengan perahu ke tempat yang sunyi.
33 Tetapi pada waktu mereka bertolak ramai orang melihat dan mengenal mereka. Orang dari semua kota berlari ikut jalan darat supaya sampai di tempat yang dituju itu sebelum Isa dan para pengikut-Nya.
34 Apabila Isa turun dari perahu dan melihat orang ramai di situ, hati-Nya penuh belas kasih kerana mereka seperti domba tanpa gembala. Dia pun mula mengajarkan banyak perkara kepada mereka.
35 Ketika hari sudah petang, para pengikut Isa datang kepada-Nya dan berkata, ‘Hari sudah hampir malam dan tempat ini terpencil.
36 Suruhlah semua orang ini pergi supaya mereka ke pekan atau ke kampung yang berdekatan untuk membeli makanan.’
37 Tetapi Isa menjawab, ‘Kamu berilah mereka makan.’ Para pengikut-Nya bertanya, ‘Haruskah kami pergi membeli roti berharga dua ratus dinar untuk memberi mereka makan?’
38 Isa bertanya, ‘Pergilah lihat berapa banyak roti yang ada pada kamu.’ Setelah mereka memeriksanya, mereka berkata, ‘Lima buku roti dan dua ekor ikan.’
39 Isa mengarahkan mereka supaya menyuruh semua orang di situ duduk berkelompok-kelompok di atas rumput.
40 Mereka pun duduk dalam kelompok; ada yang seratus orang sekelompok dan ada yang lima puluh orang.
41 Setelah Isa mengambil lima buku roti dan dua ekor ikan itu, Dia menengadah ke langit dan mengucap syukur. Lalu Dia memecah-mecahkan roti itu dan menyerahkannya kepada para pengikut-Nya untuk diberikan kepada orang ramai itu. Dia membahagikan juga dua ekor ikan itu kepada mereka semua.
Markus 6 in Kitab Suci Zabur dan Injil