51 Tatkala waktunya sudah dekat untuk Isa diangkat ke syurga, Dia menetapkan hati-Nya untuk menuju ke Baitulmaqdis.
52 Dia menyuruh beberapa utusan mendahului-Nya. Mereka pun masuk ke sebuah kampung orang Samaria untuk menyediakan tempat persinggahan bagi Isa.
53 Tetapi orang Samaria tidak menerima Isa kerana Dia sedang menuju ke Baitulmaqdis.
54 Ketika Yakobus dan Yahya, pengikut-pengikut Isa melihat perkara ini, mereka berkata, ‘Tuan, adakah Tuan mahu kami menyuruhkan api turun dari langit untuk membinasakan orang Samaria ini?’
55 Isa berpaling dan memarahi mereka.
56 Lalu mereka pergi ke sebuah kampung yang lain.
57 Ketika mereka dalam perjalanan, seorang berkata kepada Isa, ‘Aku hendak mengikut Engkau ke mana sahaja Engkau pergi.’
58 Isa berkata kepadanya, ‘Musang ada lubangnya dan burung ada sarangnya tetapi Putera Insan tiada tempat untuk meletakkan kepalanya.’
59 Isa berkata kepada seorang yang lain, ‘Ikutlah Aku.’ Tetapi dia menjawab, ‘Biarlah aku pergi mengebumikan jenazah bapaku dahulu.’
60 Isa berkata kepadanya, ‘Biarlah orang mati mengebumikan orang mati mereka; tetapi engkau pergilah menyampaikan perkhabaran tentang kerajaan Allah.’
61 Seorang lain pula berkata, ‘Aku hendak mengikut Tuan, tetapi biarlah aku pergi mengucapkan selamat tinggal kepada kaum keluargaku terlebih dahulu.’