Text copied!
Bibles in Malay (individual language)

Lukas 9:14-45 in Malay (individual language)

Help us?

Lukas 9:14-45 in Kitab Suci Zabur dan Injil

14 Terdapat kira-kira lima ribu orang lelaki di situ. Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, ‘Suruh mereka duduk berkelompok-kelompok, kira-kira lima puluh orang sekelompok.’
15 Pengikut-pengikut itu melakukan suruhan Isa dan semua orang pun duduk.
16 Isa mengambil lima buku roti dan dua ekor ikan itu. Lalu Dia menengadah ke langit sambil mengucap syukur atas makanan itu dan membahagi-bahagikannya. Dia memberikan makanan itu kepada pengikut-pengikut-Nya untuk dihidangkan kepada orang ramai.
17 Semua orang makan hingga kenyang dan dua belas bakul lebihan makanan dipungut oleh pengikut-pengikut-Nya.
18 Pada suatu hari semasa Isa berdoa bersendirian, pengikut-pengikut-Nya datang kepada-Nya. Isa bertanya kepada mereka, ‘Mengikut orang ramai, siapakah Aku?’
19 Mereka menjawab, ‘Ada yang mengatakan Yahya Pengimad; ada yang mengatakan Ilyas; dan ada pula yang berkata bahawa salah seorang daripada nabi telah hidup semula.’
20 Isa berkata kepada mereka, ‘Apa kata kamu: Siapakah Aku pula?’ Petrus menjawab, ‘Al-Masih daripada Allah.’
21 Dengan tegasnya Isa melarang mereka memaklumkan hal ini kepada sesiapapun;
22 dan menambah, ‘Putera Insan mesti menderita banyak sengsara dan ditentang oleh tua-tua, ketua-ketua imam serta guru-guru Taurat. Dia akan dibunuh, dan bangkit semula pada hari yang ketiga.’
23 Isa berkata kepada semua, ‘Jikalau seseorang mahu mengikut-Ku, dia hendaklah melupakan kepentingan diri, memikul salibnya setiap hari dan mengikut-Ku.
24 Sesiapa yang mahu memelihara nyawanya akan kehilangannya. Tetapi sesiapa yang mengorbankan nyawanya kerana Aku akan memeliharanya.
25 Apakah untungnya kepada seseorang jikalau dia memiliki seluruh dunia tetapi dirinya sendiri kehilangan atau kerugian?
26 Jika sesiapa malu mengakui Aku dan ajaran-Ku, Putera Insan juga malu mengakui dia tatkala Dia datang kelak dengan kemuliaan-Nya sendiri, dan dengan kemuliaan Bapa-Nya serta segala malaikat suci.
27 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa ada beberapa orang yang berdiri di sini yang tidak akan mengalami maut sebelum mereka melihat kerajaan Allah.’
28 Kira-kira lapan hari setelah Isa mengatakan perkara-perkara tersebut, Dia membawa Petrus, Yahya dan Yakobus menaiki bukit untuk berdoa.
29 Semasa Isa berdoa, wajah-Nya berubah dan pakaian-Nya menjadi putih berkilau-kilauan.
30 Tiba-tiba dua orang muncul dan bercakap dengan-Nya.
31 Mereka ialah Musa dan Ilyas yang kelihatan bersinar-sinar dengan kemuliaan dan mereka bercakap dengan Isa tentang kewafatan-Nya yang akan ditunaikan di Baitulmaqdis.
32 Petrus dan teman-temannya tidur lena tetapi setelah terjaga, mereka melihat kemuliaan Isa serta kedua-dua orang yang berdiri bersama-Nya.
33 Apabila kedua-dua orang itu hendak meninggalkan Isa, Petrus berkata kepada-Nya, ‘Tuan, betapa bahagianya kami berada di sini. Biarlah kami membuat tiga buah khemah: sebuah untuk Tuan, sebuah untuk Musa dan sebuah lagi untuk Ilyas.’ Sebenarnya, dia tidak mengetahui apa yang dikatakannya itu.
34 Ketika Petrus berkata demikian, suatu awan meliputi mereka dan mereka ketakutan.
35 Lalu kedengaran suara dari dalam awan itu mengatakan, ‘Inilah Putera-Ku yang Aku pilih. Dengarlah kata-kata-Nya!’
36 Setelah suara itu berhenti, Isa kelihatan seorang sahaja. Pengikut-pengikut itu berdiam diri dan tidak menceritakan kepada sesiapa jua apa yang telah disaksikan oleh mereka itu.
37 Pada keesokan harinya, mereka turun dari bukit itu dan orang ramai bertemu dengan Isa.
38 Seorang antaranya berseru, ‘Tuan Guru, tolonglah anakku kerana dia anak tunggalku.
39 Dia dirasuk sesuatu roh lalu tiba-tiba dia berteriak dan tersentak-sentak sehingga mulutnya berbuih-buih. Roh itu mencederakannya dan tidak mahu melepaskannya.
40 Aku telah memohon pengikut-pengikut Tuan supaya mengusir roh itu, tetapi mereka tidak dapat melakukannya.’
41 Isa menjawab, ‘Hai angkatan yang tidak percaya dan sesat ini! Berapa lamakah harus Aku bersama kamu dan bersabar terhadap kamu? Bawalah anakmu itu ke mari.’
42 Semasa dia datang, roh durjana itu mencampakkannya ke tanah lalu membuatnya tersentak-sentak. Tetapi Isa memarahi roh durjana itu, lalu menyembuhkan budak itu dan menyerahkannya kepada bapanya.
43 Semua orang tercengang menyaksikan keagungan Allah. Sementara semua orang masih hairan akan segala yang dibuat oleh Isa, Dia berkata kepada pengikut-pengikut-Nya,
44 ‘Jangan lupa akan apa yang Aku katakan kepadamu ini: Putera Insan akan diserahkan ke tangan orang.’
45 Mereka tidak mengetahui maksudnya kerana tersembunyi daripada mereka supaya mereka tidak memahaminya. Mereka takut pula bertanya kepada Isa tentang perkara itu.
Lukas 9 in Kitab Suci Zabur dan Injil