21 Isa menjawab kepada mereka, ‘Ibu-Ku dan adik-beradik-Ku ialah mereka yang mendengar firman Allah dan melaksanakannya.’
22 Pada suatu hari Isa bersama pengikut-pengikut-Nya menaiki sebuah perahu. Isa berkata kepada mereka, ‘Marilah kita pergi ke seberang tasik.’ Lalu mereka bertolak.
23 Ketika mereka sedang belayar, Isa tertidur. Angin ribut bertiup ke tasik itu dan perahu itu pun dimasuki air sehingga mereka cemas.
24 Mereka pergi kepada Isa dan mengejutkan-Nya. Mereka berkata, ‘Tuan, Tuan, kita hampir tenggelam!’ Isa bangun lalu memarahi angin dan ombak yang bergelora itu. Ribut itu pun berhenti dan segalanya tenang.
25 Isa berkata kepada mereka, ‘Di manakah imanmu?’ Mereka pun takut dan hairan serta berkata sesama sendiri, ‘Siapakah orang ini sehingga angin dan ombak pun menurut perintah-Nya?’
26 Mereka belayar ke wilayah Gerasa yang di seberang Galilea.
27 Setelah Isa mendarat, seorang lelaki dari bandar itu datang menemui-Nya. Orang itu telah dirasuk roh-roh iblis dan sudah lama dia tidak berpakaian. Dia tidak tinggal di rumahnya lagi tetapi di gua kubur.
28 Ketika dia melihat Isa, dia berteriak lalu sujud di hadapan-Nya dan berkata dengan suara yang lantang, ‘Mengapakah Engkau mengganggu aku, ya Isa, Putera Allah Yang Maha Tinggi? Aku minta janganlah seksa aku.’
29 Dia berkata demikian kerana Isa telah memerintah roh durjana itu keluar daripadanya. Dia seringkali dikuasai oleh roh durjana itu. Oleh sebab itu, dia dikawal ketat dan tangan serta kakinya dirantai orang. Tetapi dia dapat memutuskan rantai itu dan dibawa oleh roh durjana ke padang gurun.
30 Isa bertanya kepadanya, ‘Siapakah namamu?’ Dia menjawab, ‘Legion’ kerana dia telah dirasuk oleh ramai roh iblis.
31 Roh-roh iblis itu memohon kepada Isa supaya tidak menghalau mereka ke neraka.
32 Kebetulannya, di bukit itu ada sekawan babi sedang makan. Roh-roh iblis itu memohon kepada Isa supaya Dia membenarkan mereka masuk ke dalam babi-babi itu dan Isa membenarkannya.
33 Roh-roh iblis itu keluar daripada orang tadi dan masuk ke dalam babi. Kemudian kawanan babi itu menyerbu ke tempat curam dan terjun ke dalam tasik lalu mati lemas.
34 Setelah penjaga-penjaga babi itu menyaksikan apa yang telah terjadi, mereka berlari untuk menyebarkan hal itu di bandar dan di kampung-kampung sekitarnya.
35 Orang ramai pun keluar untuk melihat apa yang telah terjadi. Mereka datang kepada Isa dan mendapati orang yang telah dibebaskan daripada roh-roh iblis itu duduk di kaki Isa. Orang itu berpakaian dan sudah siuman. Oleh itu, mereka pun ketakutan.
36 Orang yang telah menyaksikan kejadian itu menceritakan kepada mereka bagaimana orang yang kerasukan roh iblis itu telah disembuhkan.
37 Lalu semua penduduk wilayah Gerasa meminta Isa supaya meninggalkan mereka kerana mereka ketakutan. Isa pun menaiki perahu untuk pulang.
38 Orang yang telah dibebaskan daripada roh-roh iblis itu meminta Isa membenarkan dia mengikut bersama-Nya tetapi Isa menyuruh dia pulang
39 dan berkata, ‘Pulanglah ke rumahmu dan khabarkanlah segala yang dilakukan Allah untukmu.’ Orang itu pergi menyebarkan segala yang dilakukan Isa untuknya di seluruh bandar itu.
40 Sekembalinya Isa ke seberang tasik, orang ramai pun menyambut-Nya kerana mereka menanti-nantikan-Nya.
41 Seorang lelaki yang bernama Yairus, iaitu ketua saumaah datang kepada-Nya. Dia sujud pada kaki Isa dan memohon kepada-Nya supaya datang ke rumahnya
42 kerana anak perempuan tunggalnya yang berumur dua belas tahun hampir mati. Semasa Isa berjalan, orang ramai itu mengasak-Nya dari semua sudut.
43 Terdapat seorang perempuan yang mengidap penyakit pendarahan selama dua belas tahun dan walaupun dia telah menghabiskan segala harta bendanya untuk mendapatkan rawatan daripada beberapa orang tabib, dia tidak dapat disembuhkan oleh sesiapapun.
44 Perempuan itu datang dari belakang Isa dan menyentuh kaki jubah-Nya. Seketika itu juga, penyakit pendarahannya sembuh.
45 Isa berkata, ‘Siapakah yang menyentuh Aku?’ Apabila semua orang menafikannya, Petrus berkata, ‘Tuan, orang ramai ini menghimpit dan mengasak Tuan.’
46 Tetapi Isa berkata, ‘Ada orang menyentuh Aku kerana Aku tahu bahawa kuasa telah keluar daripada-Ku.’
47 Apabila perempuan itu mengetahui perbuatannya tidak dapat disembunyikan, dia datang dengan gementar lalu sujud di hadapan Isa dan menceritakan kepada-Nya di hadapan orang ramai itu sebabnya dia menyentuh Isa serta bagaimana dia sembuh seketika itu juga.
48 Isa berkata kepadanya, ‘Anak-Ku, imanmu telah menyembuhkanmu. Pergilah dengan sejahtera.’