Text copied!
Bibles in Malay (individual language)

Lukas 8:15-35 in Malay (individual language)

Help us?

Lukas 8:15-35 in Kitab Suci Zabur dan Injil

15 Benih yang jatuh di tanah yang baik menggambarkan mereka yang mendengar firman itu dan menyimpannya dalam hati yang tulus ikhlas lalu dengan ketekunan mereka terus mengeluarkan buah.
16 ‘Tiada seorang pun memasang pelita lalu menudungnya dengan sebuah pasu atau meletakkannya di bawah katil. Tetapi dia meletakkannya di atas kaki pelita supaya cahayanya kelihatan kepada orang yang masuk ke ruang itu.
17 Tiada sesuatu pun yang tersembunyi yang tidak didedahkan kelak; tiada sesuatu rahsia pun yang tidak diketahui kelak.
18 Oleh sebab itu, berhati-hatilah bagaimana kamu mendengar. Sesiapa yang ada sesuatu akan diberi lebih banyak lagi; tetapi sesiapa yang tidak ada, sedikit yang disangka ada padanya pun akan diambil daripadanya.’
19 Ibu Isa dan adik-beradik-Nya datang kepada-Nya tetapi mereka tidak dapat bertemu dengan-Nya kerana kesesakan orang ramai.
20 Isa diberitahu, ‘Ibu dan adik-beradik-Mu berada di luar dan hendak bertemu dengan-Mu.’
21 Isa menjawab kepada mereka, ‘Ibu-Ku dan adik-beradik-Ku ialah mereka yang mendengar firman Allah dan melaksanakannya.’
22 Pada suatu hari Isa bersama pengikut-pengikut-Nya menaiki sebuah perahu. Isa berkata kepada mereka, ‘Marilah kita pergi ke seberang tasik.’ Lalu mereka bertolak.
23 Ketika mereka sedang belayar, Isa tertidur. Angin ribut bertiup ke tasik itu dan perahu itu pun dimasuki air sehingga mereka cemas.
24 Mereka pergi kepada Isa dan mengejutkan-Nya. Mereka berkata, ‘Tuan, Tuan, kita hampir tenggelam!’ Isa bangun lalu memarahi angin dan ombak yang bergelora itu. Ribut itu pun berhenti dan segalanya tenang.
25 Isa berkata kepada mereka, ‘Di manakah imanmu?’ Mereka pun takut dan hairan serta berkata sesama sendiri, ‘Siapakah orang ini sehingga angin dan ombak pun menurut perintah-Nya?’
26 Mereka belayar ke wilayah Gerasa yang di seberang Galilea.
27 Setelah Isa mendarat, seorang lelaki dari bandar itu datang menemui-Nya. Orang itu telah dirasuk roh-roh iblis dan sudah lama dia tidak berpakaian. Dia tidak tinggal di rumahnya lagi tetapi di gua kubur.
28 Ketika dia melihat Isa, dia berteriak lalu sujud di hadapan-Nya dan berkata dengan suara yang lantang, ‘Mengapakah Engkau mengganggu aku, ya Isa, Putera Allah Yang Maha Tinggi? Aku minta janganlah seksa aku.’
29 Dia berkata demikian kerana Isa telah memerintah roh durjana itu keluar daripadanya. Dia seringkali dikuasai oleh roh durjana itu. Oleh sebab itu, dia dikawal ketat dan tangan serta kakinya dirantai orang. Tetapi dia dapat memutuskan rantai itu dan dibawa oleh roh durjana ke padang gurun.
30 Isa bertanya kepadanya, ‘Siapakah namamu?’ Dia menjawab, ‘Legion’ kerana dia telah dirasuk oleh ramai roh iblis.
31 Roh-roh iblis itu memohon kepada Isa supaya tidak menghalau mereka ke neraka.
32 Kebetulannya, di bukit itu ada sekawan babi sedang makan. Roh-roh iblis itu memohon kepada Isa supaya Dia membenarkan mereka masuk ke dalam babi-babi itu dan Isa membenarkannya.
33 Roh-roh iblis itu keluar daripada orang tadi dan masuk ke dalam babi. Kemudian kawanan babi itu menyerbu ke tempat curam dan terjun ke dalam tasik lalu mati lemas.
34 Setelah penjaga-penjaga babi itu menyaksikan apa yang telah terjadi, mereka berlari untuk menyebarkan hal itu di bandar dan di kampung-kampung sekitarnya.
35 Orang ramai pun keluar untuk melihat apa yang telah terjadi. Mereka datang kepada Isa dan mendapati orang yang telah dibebaskan daripada roh-roh iblis itu duduk di kaki Isa. Orang itu berpakaian dan sudah siuman. Oleh itu, mereka pun ketakutan.
Lukas 8 in Kitab Suci Zabur dan Injil