Text copied!
Bibles in Malay (individual language)

Lukas 7:5-29 in Malay (individual language)

Help us?

Lukas 7:5-29 in Kitab Suci Zabur dan Injil

5 Dia mengasihi bangsa kita dan dia telah mendirikan sebuah saumaah untuk kita.’
6 Lalu Isa pun pergi bersama mereka. Tatkala Dia tidak berapa jauh dari rumah, ketua tentera itu menyuruh beberapa orang sahabat memberitahu Isa, ‘Tuan, tak usah Tuan menyusahkan diri ke rumah aku kerana aku tidak layak.
7 Aku juga tidak layak datang untuk menemui Tuan. Memadailah Tuan memberikan perintah sahaja dan hambaku itu akan sembuh.
8 Aku juga di bawah perintah orang atasan dan aku ada askar di bawah perintahku. Aku memerintah seseorang, “Pergilah!” dan dia akan pergi; aku memerintah seorang lagi, “Mari!” dan dia akan datang. Aku memerintah seorang hamba, “Buat kerja ini!” dan dia akan melakukannya.’
9 Isa kagum mendengar ini lalu Dia berpaling kepada orang ramai yang mengikut-Nya sambil berkata, ‘Aku berkata kepadamu bahawa antara bangsa Israel sekalipun belum pernah Aku jumpa orang yang beriman seteguh ini.’
10 Apabila mereka yang disuruh itu kembali ke rumah ketua tentera Rom itu, mereka mendapati hamba itu telah sembuh.
11 Tidak lama kemudian, Isa pergi ke sebuah bandar yang bernama Nain; pengikut-pengikut-Nya dan orang ramai pergi bersama-Nya.
12 Ketika Dia mendekati pintu gerbang bandar itu, mayat anak lelaki tunggal seorang balu sedang diusung keluar dan sekumpulan besar orang dari bandar itu bersama dengan wanita itu.
13 Apabila Isa melihat balu itu, Dia berasa kasihan terhadapnya lalu berkata kepadanya, ‘Janganlah menangis.’
14 Dia berjalan ke hadapan dan menyentuh keranda itu. Orang yang mengusung keranda itu pun berhenti. Lalu Isa berkata, ‘Hai pemuda, Aku berkata kepadamu – bangun!’
15 Orang yang sudah mati itu pun bangun dan mula bercakap; lalu Isa mengembalikannya kepada ibunya.
16 Setiap orang ketakutan lalu memuji Allah: ‘Seorang nabi yang agung telah muncul di kalangan kita!’ dan ‘Allah telah mendatangi umat-Nya.’
17 Khabar tentang Isa ini tersebar ke seluruh jajahan Yudea dan daerah di sekelilingnya.
18 Pengikut-pengikut Yahya memaklumkan segala perkara ini kepada Yahya.
19 Yahya memanggil dua orang pengikutnya lalu menyuruh mereka pergi kepada Junjungan untuk bertanya, ‘Adakah Tuan yang dikatakan akan datang itu, atau haruskah kami menantikan seorang yang lain?’
20 Apabila mereka datang kepada Isa, mereka berkata, ‘Yahya yang mengimadkan itu menyuruh kami datang kepada Tuan untuk bertanya, “Adakah Tuan yang akan datang itu, atau haruskah kami menantikan seorang yang lain?” ’
21 Pada masa itu, Isa sedang menyembuhkan ramai orang yang menderitai penyakit dan kerasukan roh iblis serta mencelikkan mata ramai orang buta.
22 Lalu Isa menjawab kepada mereka, ‘Pergilah dan maklumkan kepada Yahya apa yang telah kamu lihat dan dengar: orang buta dapat melihat, orang tempang dapat berjalan, orang kusta disembuhkan, orang tuli dapat mendengar, orang mati dihidupkan kembali serta perkhabaran yang baik diberitakan kepada orang miskin.
23 Diberkatilah orang yang tidak berpaling daripada Aku.’
24 Setelah utusan-utusan Yahya pulang, Isa mula berkata kepada orang ramai itu tentang Yahya, ‘Semasa kamu pergi berjumpa dengan Yahya di gurun, apakah yang hendak kamu lihat? Sebatang buluh yang digoyang oleh angin?
25 Kamu pergi untuk melihat apa? Seorang yang mengenakan pakaian bergaya? Sebenarnya, orang yang mengenakan pakaian bergaya dan hidup dalam kemewahan didapati di istana-istana raja.
26 Oleh itu, kamu pergi untuk melihat apa? Seorang nabi? Ya, dan Aku berkata kepadamu, kamu melihat lebih daripada seorang nabi.
27 Dialah yang dikatakan dalam Kitab Suci: ‘ “Aku akan menghantar utusan-Ku untuk mendahului-Mu, dialah yang akan menyediakan jalan bagi-Mu.”
28 Aku berkata kepadamu bahawa Yahya itu lebih besar daripada semua orang yang pernah dilahirkan. Akan tetapi, orang yang terkecil dalam kerajaan Allah lebih besar daripadanya.’
29 Orang ramai itu, termasuk pemungut-pemungut cukai, mendengar Isa. Mereka mengakui kebenaran Allah kerana mereka telah menerima pengimadan Yahya.
Lukas 7 in Kitab Suci Zabur dan Injil