22 Lalu Isa menjawab kepada mereka, ‘Pergilah dan maklumkan kepada Yahya apa yang telah kamu lihat dan dengar: orang buta dapat melihat, orang tempang dapat berjalan, orang kusta disembuhkan, orang tuli dapat mendengar, orang mati dihidupkan kembali serta perkhabaran yang baik diberitakan kepada orang miskin.
23 Diberkatilah orang yang tidak berpaling daripada Aku.’
24 Setelah utusan-utusan Yahya pulang, Isa mula berkata kepada orang ramai itu tentang Yahya, ‘Semasa kamu pergi berjumpa dengan Yahya di gurun, apakah yang hendak kamu lihat? Sebatang buluh yang digoyang oleh angin?
25 Kamu pergi untuk melihat apa? Seorang yang mengenakan pakaian bergaya? Sebenarnya, orang yang mengenakan pakaian bergaya dan hidup dalam kemewahan didapati di istana-istana raja.
26 Oleh itu, kamu pergi untuk melihat apa? Seorang nabi? Ya, dan Aku berkata kepadamu, kamu melihat lebih daripada seorang nabi.
27 Dialah yang dikatakan dalam Kitab Suci: ‘ “Aku akan menghantar utusan-Ku untuk mendahului-Mu, dialah yang akan menyediakan jalan bagi-Mu.”
28 Aku berkata kepadamu bahawa Yahya itu lebih besar daripada semua orang yang pernah dilahirkan. Akan tetapi, orang yang terkecil dalam kerajaan Allah lebih besar daripadanya.’
29 Orang ramai itu, termasuk pemungut-pemungut cukai, mendengar Isa. Mereka mengakui kebenaran Allah kerana mereka telah menerima pengimadan Yahya.
30 Tetapi orang Farisi dan guru-guru Taurat enggan menerima pengimadan Yahya, maka mereka menolak kehendak Allah untuk mereka.
31 ‘Dengan apakah dapat Aku umpamakan orang pada zaman ini? Bagaimanakah keadaan mereka?
32 Mereka umpama budak-budak yang duduk di pasar dan berseru-seru sesama sendiri: ‘ “Kami telah memainkan serunai untukmu, tetapi kamu tidak mahu menari; kami telah menyanyikan lagu-lagu sedih untukmu, tetapi kamu tidak mahu menangis.”
33 Kerana Yahya Pengimad telah datang dengan berpuasa dan tidak minum air anggur, lalu kamu berkata, “Dia dirasuk roh iblis”
34 Putera Insan datang dengan makan dan minum lalu kamu berkata, “Tengoklah, orang gelojoh dan peminum, sahabat kepada pemungut-pemungut cukai dan orang berdosa.”
35 Tetapi kebijaksanaan dibuktikan benar oleh semua orang yang menerimanya.’
36 Salah seorang Farisi menjemput Isa makan di rumahnya. Isa masuk ke rumah orang Farisi itu lalu bertelekan pada meja.
37 Di dalam kota itu ada seorang perempuan yang hidup dalam dosa. Setelah dia mendengar bahawa Isa sedang makan di rumah orang Farisi itu, dia membawa sebuah botol berisi minyak wangi.
38 Dia berdiri di belakang Isa dekat dengan kaki-Nya dan menangis lalu membasahi kaki Isa dengan air matanya. Dia mengeringkan kaki Isa dengan menggunakan rambutnya, mencium kaki-Nya lalu menuang minyak wangi itu pada kaki-Nya.
39 Apabila melihat perkara ini, orang Farisi yang menjemput Isa berkata-kata dalam hatinya, ‘Jika orang ini seorang nabi, tentulah dia mengetahui perempuan yang menyentuh-Nya seorang yang hidup berdosa.’
40 Isa menjawabnya, ‘Simon, ada sesuatu yang hendak Aku katakan kepadamu.’ Simon berkata, ‘Ya Guru, katakanlah.’
41 ‘Ada dua orang berhutang kepada seorang pemiutang wang. Seorang berhutang lima ratus dinar dan seorang lagi lima puluh dinar.
42 Oleh sebab mereka tidak dapat membayar hutang itu, dia pun menghapuskan hutang kedua-dua penghutang wang itu. Antara mereka, yang manakah akan lebih mengasihinya?’
43 Simon menjawab, ‘Aku rasa orang yang dihapuskan hutangnya yang lebih besar itu.’ Isa berkata kepadanya, ‘Betullah jawapanmu.’
44 Lalu Isa berpaling kepada perempuan itu dan berkata kepada Simon, ‘Engkau melihat perempuan ini? Aku masuk ke rumahmu dan engkau tidak memberikan air membasuh kaki-Ku tetapi perempuan ini telah membasahi kaki-Ku dengan air matanya lalu mengeringkannya dengan rambutnya.