10 Begitu juga Yakobus dan Yahya, anak-anak Zebedeus, rakan-rakan Simon. Isa berkata kepada Simon, ‘Jangan takut! Mulai sekarang, engkau akan menjala manusia!’
11 Setelah mereka menyadaikan perahu-perahu itu, mereka meninggalkan semuanya lalu mengikut Isa.
12 Pada suatu hari Isa berada di sebuah bandar. Terdapat seorang yang berpenyakit kusta. Apabila dia melihat Isa, dia meniarap lalu memohon kepada-Nya, ‘Tuan, jikalau Tuan mahu, Tuan berkuasa untuk mentahirkan aku.’
13 Lalu Isa pun menghulurkan tangan dan menyentuhnya sambil berkata, ‘Aku mahu. Tahirlah engkau!’ Seketika itu juga, penyakit kustanya hilang.
14 Isa berpesan kepadanya, ‘Jangan beritahu hal ini kepada sesiapapun tetapi pergi tunjukkan dirimu kepada imam dan persembahkan suatu korban kerana pentahiranmu, seperti yang ditetapkan oleh Musa untuk membuktikan kepada semua orang bahawa engkau kini sudah tahir.’
15 Akan tetapi, berita tentang Isa tersebar lebih meluas dan ramai orang datang untuk mendengar ajaran-Nya serta memohon-Nya menyembuhkan penyakit mereka.
16 Tetapi Isa kerapkali mengasingkan diri ke tempat yang sunyi untuk berdoa.
17 Pada suatu hari ketika Isa mengajar orang, ada beberapa orang Farisi dan ahli Taurat duduk di situ. Mereka telah datang dari setiap bandar di Galilea dan Yudea dan juga dari Baitulmaqdis. Kuasa Allah ada pada Isa untuk menyembuhkan orang.
18 Beberapa orang mengusung seorang yang lumpuh dan mereka mencari jalan untuk membawanya ke dalam rumah untuk meletakkannya di hadapan Isa.
19 Oleh sebab mereka tidak dapat membawanya masuk kerana orang bersesak-sesak, mereka naik ke atas bumbung rumah lalu membuka genting supaya dapat menurunkan orang itu dengan tikarnya di tengah-tengah orang ramai di hadapan Isa.
20 Apabila Isa melihat iman mereka, Dia berkata kepada orang lumpuh itu, ‘Saudara, dosa-dosamu diampunkan.’
21 Guru-guru Taurat dan orang Farisi mula berkata sesama diri, ‘Siapakah orang ini yang mengkufuri Allah? Siapakah yang dapat mengampunkan dosa kecuali Allah sahaja?’
22 Tetapi Isa mengetahui fikiran mereka, lalu berkata kepada mereka, ‘Mengapakah kamu memikirkan perkara sedemikian?
23 Yang manakah lebih mudah: mengatakan, “Dosa-dosamu diampunkan,” atau “Bangunlah dan berjalan”?
24 Tetapi, supaya kamu ketahui bahawa Putera Insan berkuasa di bumi ini untuk mengampunkan dosa...’ Lalu Dia berkata kepada orang lumpuh itu, ‘Aku berkata kepadamu, bangunlah, angkat tikarmu dan berjalan pulang ke rumah!’
25 Seketika itu juga, dia bangun di hadapan mereka sekalian. Dia mengangkat tikar tempat dia berbaring tadi lalu pulang sambil memuji Allah.
26 Semua orang tercengang-cengang dan memuji Allah. Mereka dipenuhi dengan perasaan takjub sambil berkata, ‘Pada hari ini kami telah menyaksikan hal yang ajaib!’
27 Kemudian Isa keluar dan nampak seorang pemungut cukai yang bernama Lewi sedang duduk di tempat kutipan cukai. Isa berkata kepadanya, ‘Ikutlah Aku!’
28 Lewi bangun, meninggalkan semuanya dan mengikut Isa.