Text copied!
Bibles in Malay (individual language)

Lukas 4:9-32 in Malay (individual language)

Help us?

Lukas 4:9-32 in Kitab Suci Zabur dan Injil

9 Kemudian, Iblis membawa Isa ke Baitulmaqdis lalu menempatkan-Nya di atas mercu rumah ibadat dan berkata kepada-Nya, ‘Jikalau Engkau Putera Allah, terjunlah ke bawah,
10 kerana dalam Kitab Suci ada tersurat, ‘ “Allah akan memerintahkan malaikat-malaikat-Nya untuk melindungi-Mu
11 dan mereka akan menatang-Mu dengan tangan mereka supaya kaki-Mu tidak terantuk pada batu.” ’
12 Tetapi Isa menjawab, ‘Kitab Suci juga mengatakan, “Janganlah engkau menduga Allah, Tuhanmu.” ’
13 Setelah Iblis selesai menggoda Isa, dia meninggalkan-Nya untuk sementara waktu.
14 Isa kembali ke Galilea dan kuasa Roh menyertai-Nya. Perkhabaran tentang-Nya tersebar ke seluruh daerah itu.
15 Dia mengajar di saumaah-saumaah mereka dan semua orang memuji-muji-Nya.
16 Kemudian, Isa kembali ke Nasaret, tempat Dia dibesarkan. Pada hari Sabat Dia pergi ke saumaah seperti kebiasaan-Nya. Lalu Dia berdiri untuk membaca Kitab Suci.
17 Kitab Nabi Yasyaya diberikan kepada Isa dan Dia membuka kitab itu untuk membaca ayat yang tersurat:
18 ‘Roh Tuhan ada pada-Ku kerana Dia telah memilih Aku untuk memberitakan perkhabaran yang baik kepada orang miskin; Dia telah mengutus Aku untuk mengumumkan pelepasan kepada orang tawanan, penyembuhan kepada orang buta, pembebasan orang yang tertindas,
19 dan mengisytiharkan tibanya masa yang Tuhan berkenan!’
20 Isa menutup kitab itu dan memulangkannya kepada petugas lalu duduk. Mata semua orang di dalam saumaah itu tertumpu kepada-Nya.
21 Isa mula berucap kepada mereka, ‘Pada hari ini ayat Kitab Suci ini telah ditepati ketika kamu mendengarnya.’
22 Semua orang memperkatakan-Nya dan kagum akan kata-kata indah yang diucapkan-Nya. Mereka berkata, ‘Bukankah Dia anak Yusuf?’
23 Isa berkata kepada mereka, ‘Sudah tentunya kamu akan menyebut bidalan ini kepada-Ku, “Tuan tabib, ubati dirimu! Buatlah di kota-Mu sendiri apa yang kami dengar Kaubuat di Kapernaum.” ’
24 Isa menambah, ‘Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, tiada seorang nabi pun yang diterima di kotanya sendiri.
25 Dengarlah, sesungguhnya terdapat ramai balu di negeri Israel pada zaman Nabi Ilyas tatkala langit tertutup tidak menurunkan hujan selama tiga tahun enam bulan, menyebabkan bencana kebuluran di seluruh negeri itu.
26 Tetapi Nabi Ilyas tidak diutus kepada seorang jua pun kecuali seorang balu di bandar Sarafat di Sidon.
27 Demikian juga, ada ramai orang yang berpenyakit kusta di Israel pada zaman Nabi Ilyasa tetapi tiada seorang pun antara mereka yang disembuhkan melainkan Naaman, orang Siria.’
28 Semua orang di dalam saumaah yang mendengar kata-kata ini naik berang.
29 Mereka bangun lalu mengusir Isa dari kota itu. Dia dibawa ke puncak gunung tempat kota itu dibina kerana mereka mahu menghumbankan-Nya ke bawah.
30 Tetapi Isa berjalan di tengah-tengah mereka dan beredar dari situ.
31 Kemudian Isa pergi ke kota Kapernaum di jajahan Galilea dan di situlah Dia mengajar orang pada hari Sabat.
32 Mereka kagum mendengar ajaran-Nya kerana kata-kata-Nya berwibawa.
Lukas 4 in Kitab Suci Zabur dan Injil