Text copied!
Bibles in Malay (individual language)

Lukas 4:19-38 in Malay (individual language)

Help us?

Lukas 4:19-38 in Kitab Suci Zabur dan Injil

19 dan mengisytiharkan tibanya masa yang Tuhan berkenan!’
20 Isa menutup kitab itu dan memulangkannya kepada petugas lalu duduk. Mata semua orang di dalam saumaah itu tertumpu kepada-Nya.
21 Isa mula berucap kepada mereka, ‘Pada hari ini ayat Kitab Suci ini telah ditepati ketika kamu mendengarnya.’
22 Semua orang memperkatakan-Nya dan kagum akan kata-kata indah yang diucapkan-Nya. Mereka berkata, ‘Bukankah Dia anak Yusuf?’
23 Isa berkata kepada mereka, ‘Sudah tentunya kamu akan menyebut bidalan ini kepada-Ku, “Tuan tabib, ubati dirimu! Buatlah di kota-Mu sendiri apa yang kami dengar Kaubuat di Kapernaum.” ’
24 Isa menambah, ‘Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, tiada seorang nabi pun yang diterima di kotanya sendiri.
25 Dengarlah, sesungguhnya terdapat ramai balu di negeri Israel pada zaman Nabi Ilyas tatkala langit tertutup tidak menurunkan hujan selama tiga tahun enam bulan, menyebabkan bencana kebuluran di seluruh negeri itu.
26 Tetapi Nabi Ilyas tidak diutus kepada seorang jua pun kecuali seorang balu di bandar Sarafat di Sidon.
27 Demikian juga, ada ramai orang yang berpenyakit kusta di Israel pada zaman Nabi Ilyasa tetapi tiada seorang pun antara mereka yang disembuhkan melainkan Naaman, orang Siria.’
28 Semua orang di dalam saumaah yang mendengar kata-kata ini naik berang.
29 Mereka bangun lalu mengusir Isa dari kota itu. Dia dibawa ke puncak gunung tempat kota itu dibina kerana mereka mahu menghumbankan-Nya ke bawah.
30 Tetapi Isa berjalan di tengah-tengah mereka dan beredar dari situ.
31 Kemudian Isa pergi ke kota Kapernaum di jajahan Galilea dan di situlah Dia mengajar orang pada hari Sabat.
32 Mereka kagum mendengar ajaran-Nya kerana kata-kata-Nya berwibawa.
33 Di dalam saumaah itu ada seorang yang dirasuk oleh roh iblis yang durjana. Dia menjerit dengan nyaring,
34 ‘Ah, mengapakah Engkau mengganggu kami, Isa, orang Nasaret? Engkau datang untuk membinasakan kamikah? Aku mengetahui siapa Engkau ini – Engkaulah Yang Suci daripada Allah.’
35 Isa memarahi roh iblis itu, ‘Diam! Keluar daripada dia!’ Roh iblis itu menghempaskan orang itu di hadapan mereka lalu keluar daripadanya tanpa mencederakannya.
36 Mereka semua kehairanan dan berkata sesama sendiri, ‘Betapa hebat kata-kata-Nya! Dengan penuh kewibawaan dan kuasa Dia memerintah roh-roh durjana itu, mereka terus keluar.’
37 Maka perkhabaran tentang Isa tersebar ke seluruh daerah itu.
38 Isa keluar dari saumaah itu lalu pergi ke rumah Simon. Ibu mertua Simon sedang demam panas dan mereka memberitahu Isa tentangnya.
Lukas 4 in Kitab Suci Zabur dan Injil