Text copied!
Bibles in Malay (individual language)

Lukas 2:9-40 in Malay (individual language)

Help us?

Lukas 2:9-40 in Kitab Suci Zabur dan Injil

9 Tiba-tiba malaikat Tuhan muncul di hadapan mereka dan kemuliaan Tuhan menerangi mereka, lalu mereka ketakutan.
10 Tetapi malaikat itu berkata kepada mereka, ‘Jangan takut! Aku membawa kepadamu berita baik yang akan memberikan sukacita besar kepada seluruh umat.
11 Pada malam ini di kota Daud telah lahir seorang Penyelamat bagimu, iaitu al-Masih, Junjungan itu.
12 Inilah tandanya bagimu: Kamu akan menjumpai seorang anak yang dibedung dan dibaringkan di dalam sebuah palung.’
13 Tiba-tiba malaikat itu disertai oleh satu angkatan besar dari syurga yang memuji-muji Allah:
14 ‘Kemuliaan bagi Allah di tempat yang maha tinggi dan damai sejahtera di bumi bagi orang yang berkenan pada hati-Nya.’
15 Setelah malaikat-malaikat itu meninggalkan mereka untuk kembali ke syurga, gembala-gembala itu berkata sesama sendiri, ‘Marilah kita pergi ke Baitlahim untuk melihat kejadian yang telah berlaku itu seperti yang diberitahu Tuhan kepada kita.’
16 Mereka pergi dengan segera lalu menjumpai Maryam dan Yusuf serta bayi itu yang sedang terbaring di dalam palung.
17 Setelah melihat bayi itu, mereka pun memberitahu segala yang telah dikatakan kepada mereka tentang anak itu.
18 Semua yang mendengar berasa kagum tentang apa yang dikatakan oleh gembala-gembala itu kepada mereka;
19 tetapi Maryam mengingati segala perkara ini dan merenunginya.
20 Kemudian gembala-gembala itu pulang sambil memuji-muji Allah atas segala yang didengar dan dilihat mereka. Segalanya seperti yang dikatakan kepada mereka.
21 Lapan hari kemudian, tibalah masanya untuk menyunatkan bayi itu, lalu Dia diberikan nama Isa, seperti yang dikatakan oleh malaikat sebelum Dia dikandung oleh Maryam.
22 Setelah tamat masa penyucian mengikut hukum Taurat Musa, mereka pun membawa Isa ke Baitulmaqdis untuk mempersembahkan-Nya kepada Tuhan.
23 Tersurat dalam Hukum Tuhan bahawa setiap anak lelaki sulung akan diserahkan kepada Tuhan.
24 Mereka juga mempersembahkan korban mengikut apa yang ditetapkan dalam Hukum Tuhan, iaitu sepasang burung tekukur atau dua ekor anak merpati.
25 Pada masa itu ada seorang di Baitulmaqdis yang bernama Simeon. Seorang yang salih dan bertakwa kepada Allah, Simeon menantikan masa terhiburnya Israel. Dan dia diasertai Roh Suci.
26 Roh Suci telah memberitahunya bahawa dia tidak akan meninggal dunia sebelum dia melihat al-Masih yang dijanjikan oleh Tuhan.
27 Atas pimpinan Roh dia masuk ke dalam rumah ibadat. Ketika Isa, anak itu, dibawa masuk oleh ibu bapa-Nya untuk menunaikan hukum Taurat itu,
28 Simeon mendukung Dia dan bersyukur kepada Allah lalu berkata:
29 ‘Ya Tuhan, sekarang biarlah hamba-Mu pergi dengan sejahtera, menurut firman-Mu:
30 kerana mataku telah melihat penyelamatan-Mu
31 yang telah Kausediakan di hadapan segala bangsa,
32 satu cahaya yang akan menunjukkan jalan kepada bangsa-bangsa asing dan menjadi kemuliaan bagi umat-Mu Israel.’
33 Ibu bapa-Nya kagum mendengar apa yang dikatakan tentang anak itu.
34 Simeon memberkati mereka dan berkata kepada Maryam, ibu anak itu, ‘Anak ini telah dipilih oleh Tuhan untuk menjatuhkan dan membangunkan ramai orang Israel kelak; Dia menjadi tanda daripada Allah yang akan dibantahi orang
35 supaya fikiran dalam hati mereka didedahkan. Dan jiwamu sendiri akan ditusuk oleh pedang.’
36 Ada pula seorang nabiah yang bernama Hana binti Fanuel, daripada suku Asyer. Dia telah lanjut usianya. Dia berkahwin selama tujuh tahun
37 dan menjadi balu selama lapan puluh empat tahun. Dia tidak pernah meninggalkan rumah ibadat, malahan dia beribadat kepada Allah dengan berpuasa dan berdoa siang malam.
38 Pada ketika itu juga, dia datang dan mengucapkan syukur kepada Allah lalu berkata tentang anak itu kepada semua orang yang menantikan pembebasan bagi Baitulmaqdis.
39 Setelah ibu bapa-Nya menunaikan segala yang wajib menurut Hukum Tuhan, mereka pulang ke kota Nasaret, kota tempat tinggal mereka di Galilea.
40 Anak itu semakin membesar dan bertambah kuat serta penuh dengan kebijaksanaan. Kasih kurnia Tuhan ada pada-Nya.
Lukas 2 in Kitab Suci Zabur dan Injil