27 Lalu Isa menerangkan kepada mereka apa yang tersurat tentang-Nya dalam semua kitab mulai dari kitab-kitab Musa sehingga semua kitab para nabi yang lain.
28 Apabila mereka menghampiri kampung yang dituju mereka itu, Isa kelihatan seolah-olah Dia hendak meneruskan perjalanan.
29 Tetapi kedua-dua orang itu menjemput-Nya dengan berkata, ‘Bermalamlah dengan kami kerana hari hampir senja dan mulai gelap.’ Dia pun masuk ke rumah dan bermalam dengan mereka.
30 Ketika Dia duduk untuk makan bersama mereka, Dia mengambil roti dan mengucap syukur. Dia membahagikan roti itu lalu memberikannya kepada mereka.
31 Pada ketika itu juga mata mereka dicelikkan dan mereka pun mengenali Dia. Lalu Dia lenyap daripada pandangan mereka.
32 Mereka berkata satu sama lain, ‘Bukankah hati kita meluap-luap ketika Dia berkata-kata kepada kita dalam perjalanan tadi dan semasa Dia menerangkan Kitab Suci kepada kita?’
33 Mereka terus bangun dan kembali ke Baitulmaqdis. Mereka mendapati sebelas pengikut itu berkumpul dengan pengikut yang lain.
34 Mereka berkata, ‘Sesungguhnya, Junjungan telah bangkit. Dia menampakkan diri-Nya kepada Simon!’
35 Lalu kedua-dua orang itu menceritakan apa yang telah berlaku dalam perjalanan mereka dan bagaimana mereka telah mengenali Isa semasa Dia membahagikan roti.
36 Semasa mereka berkata-kata tentang segala perkara ini, Isa sendiri berdiri di tengah-tengah mereka dan berkata kepada mereka, ‘Sejahteralah kamu!’
37 Mereka terkejut dan berasa sangat takut kerana menyangka mereka melihat hantu.
38 Tetapi Isa berkata kepada mereka, ‘Apakah sebabnya kamu takut? Mengapakah hatimu ragu-ragu?
39 Tengoklah tangan dan kaki-Ku. Inilah Aku. Sentuhlah Aku dan tengok. Hantu tidak berdaging dan bertulang sebagaimana yang kamu lihat ada pada-Ku.’
40 Setelah Dia berkata demikian, Dia menunjukkan tangan dan kaki-Nya kepada mereka.
41 Mereka masih tidak dapat percaya kerana terlalu gembira dan takjub. Isa pun bertanya kepada mereka, ‘Adakah kamu mempunyai makanan di sini?’
42 Mereka memberi Dia sepotong ikan yang telah dimasak,
43 lalu Dia mengambilnya dan makan di hadapan mereka semua.
44 Kemudian, Dia berkata kepada mereka, ‘Inilah perkara-perkara yang telah Aku katakan kepadamu semasa Aku masih bersamamu dahulu: Segala perkara yang tersurat tentang Aku dalam Taurat Musa, kitab-kitab nabi dan Kitab Zabur pasti akan berlaku.’
45 Lalu Dia membuka pintu pemahaman mereka supaya mereka mengerti maksud Kitab Suci.
46 Dia berkata lagi, ‘Demikianlah yang tersurat: Bahawa al-Masih harus menderita lalu bangkit semula daripada maut pada hari yang ketiga,
47 dan perkhabaran tentang pertaubatan dan pengampunan dosa akan diisytiharkan demi nama-Nya kepada semua bangsa, mulai di Baitulmaqdis.
48 Kamulah saksi segala perkara ini.
49 Dan Aku akan mengurniakan pemberian yang dijanjikan oleh Bapa-Ku kepadamu. Tetapi, tunggulah di kota ini sehingga kamu diperlengkapi dengan kuasa daripada Allah.’
50 Kemudian Isa membawa pengikut-pengikut-Nya ke luar kota sehingga Baitani. Di situ Dia mengangkat tangan-Nya lalu memberkati mereka.
51 Ketika Dia memberkati mereka, Dia diangkat ke syurga lalu meninggalkan mereka.