Text copied!
Bibles in Malay (individual language)

Lukas 24:17-30 in Malay (individual language)

Help us?

Lukas 24:17-30 in Kitab Suci Zabur dan Injil

17 Isa berkata kepada mereka, ‘Apakah perkara-perkara yang sedang kamu bincangkan dalam perjalanan kamu ini?’ Mereka pun berhenti di situ dengan berwajah murung.
18 Seorang daripadanya yang bernama Kleopas bertanya kepada Isa, ‘Engkaukah satu-satunya orang di Baitulmaqdis yang belum mengetahui peristiwa-peristiwa yang telah berlaku dalam beberapa hari ini?’
19 Isa berkata, ‘Apakah yang telah berlaku?’ Mereka menjawab, ‘Segala perkara yang berlaku kepada Isa, orang Nasaret. Dia seorang nabi. Di sisi Allah dan pada pandangan orang, Dia berkuasa dalam apa yang dikatakan dan dilakukan-Nya.
20 Ketua-ketua imam dan para pemimpin kita telah menyerahkan-Nya untuk dijatuhi hukuman mati lalu mereka menyalib-Nya.
21 Kami telah berharap bahawa Dialah yang akan membebaskan Israel. Tambahan lagi, hari ini ialah hari yang ketiga semenjak perkara-perkara itu telah berlaku.
22 Beberapa orang perempuan daripada golongan kami telah menakjubkan kami. Mereka telah siang-siang ke makam pada pagi tadi.
23 Akan tetapi, mereka tidak mendapati jenazah-Nya. Mereka pulang menceritakan bahawa mereka nampak malaikat-malaikat yang memberitahu mereka bahawa Dia hidup.
24 Beberapa orang daripada kumpulan kami telah pergi ke makam itu dan mendapati sebagaimana yang dikatakan oleh perempuan-perempuan itu, tetapi mereka tidak nampak Dia.’
25 Kemudian, Isa berkata kepada mereka, ‘Betapa bodohnya kamu! Betapa lambatnya kamu percaya akan segala kata nabi-nabi!
26 Bukankah al-Masih harus menderita sedemikian untuk mencapai kemuliaan-Nya?’
27 Lalu Isa menerangkan kepada mereka apa yang tersurat tentang-Nya dalam semua kitab mulai dari kitab-kitab Musa sehingga semua kitab para nabi yang lain.
28 Apabila mereka menghampiri kampung yang dituju mereka itu, Isa kelihatan seolah-olah Dia hendak meneruskan perjalanan.
29 Tetapi kedua-dua orang itu menjemput-Nya dengan berkata, ‘Bermalamlah dengan kami kerana hari hampir senja dan mulai gelap.’ Dia pun masuk ke rumah dan bermalam dengan mereka.
30 Ketika Dia duduk untuk makan bersama mereka, Dia mengambil roti dan mengucap syukur. Dia membahagikan roti itu lalu memberikannya kepada mereka.
Lukas 24 in Kitab Suci Zabur dan Injil