Text copied!
Bibles in Malay (individual language)

Lukas 23:33-49 in Malay (individual language)

Help us?

Lukas 23:33-49 in Kitab Suci Zabur dan Injil

33 Setelah mereka sampai ke tempat yang bernama, ‘Tengkorak,’ mereka pun menyalib Isa dan kedua-dua orang penjahat itu, seorang di sebelah kanan dan seorang di sebelah kiri-Nya.
34 Isa berkata, ‘Ya Bapa, ampunilah mereka kerana mereka tidak tahu apa yang mereka lakukan.’ Mereka membahagi-bahagikan pakaian-Nya dengan membuang undi.
35 Orang ramai yang berdiri di situ memandang sahaja sementara para pemimpin masyarakat mengejek-ngejek-Nya, ‘Orang lain diselamatkan-Nya; biarlah Dia menyelamatkan diri-Nya sekarang jikalau Dia sesungguhnya al-Masih yang dipilih oleh Allah.’
36 Askar-askar juga mengejek-ngejek Isa. Mereka mendekati-Nya dan membawa air anggur masam kepada-Nya
37 lalu berkata, ‘Jika Engkau Raja orang Yahudi, selamatkanlah Diri-Mu.’
38 Pada sebelah atas kayu salib Isa tertulis kata-kata: ‘INILAH RAJA ORANG YAHUDI.’
39 Seorang daripada penjahat yang disalib di situ mula menghina Isa. Dia berkata, ‘Bukankah Engkau al-Masih? Selamatkanlah Diri-Mu dan kami!’
40 Tetapi seorang penjahat lagi menegurnya, ‘Tidakkah kamu takut akan Allah? Kita sama-sama dihukum mati.
41 Bagi kita, hukuman ini adil kerana kita menerima balasan yang setimpal; tetapi orang ini tidak melakukan kesalahan apa-apa.’
42 Dia berkata kepada Isa, ‘Ya Isa, ingatilah aku ketika Engkau menaiki takhta kerajaan-Mu.’
43 Isa menjawab, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa pada hari ini juga engkau akan bersama-Ku dalam Firdaus.’
44 Ketika itu kira-kira pukul dua belas tengah hari, kegelapan menyelubungi seluruh negeri itu sehingga pukul tiga petang kerana matahari gerhana.
45 Tirai yang tergantung di dalam rumah ibadat pun koyak terbelah dua.
46 Isa berseru dengan suara yang kuat, ‘Ya Bapa, Aku menyerahkan roh-Ku ke dalam tangan-Mu!’ Setelah Isa berkata demikian, Dia pun wafat.
47 Ketua tentera yang menyaksikan apa yang telah terjadi memuji Allah, ‘Sesungguhnya, orang ini orang yang benar.’
48 Orang ramai yang telah berkumpul untuk menyaksikan peristiwa itu, pulang menebah dada mereka.
49 Semua sahabat Isa, termasuk perempuan-perempuan yang telah mengikut Dia dari Galilea, berdiri dari jauh untuk menyaksikan segala perkara ini.
Lukas 23 in Kitab Suci Zabur dan Injil