Text copied!
Bibles in Malay (individual language)

Lukas 21:8-24 in Malay (individual language)

Help us?

Lukas 21:8-24 in Kitab Suci Zabur dan Injil

8 Isa berkata, ‘Berjaga-jagalah supaya kamu tidak terpedaya oleh orang. Ramai orang akan datang dengan nama-Ku dan berkata, “Akulah dia,” dan “Masanya sudah tiba.” Janganlah kamu ikut mereka.
9 Apabila kamu mendengar tentang peperangan dan pemberontakan, janganlah kamu ketakutan. Peristiwa-peristiwa ini akan berlaku terlebih dahulu tetapi ini tidaklah bererti bahawa akhir zaman telah sampai.’
10 Kemudian Isa berkata kepada mereka, ‘Bangsa akan berperang dengan bangsa dan kerajaan dengan kerajaan;
11 gempa bumi dan kebuluran serta wabak yang dahsyat akan terjadi di beberapa tempat. Perkara-perkara dahsyat dan alamat-alamat yang hebat akan kelihatan di langit.
12 ‘Tetapi sebelum segala perkara yang disebut ini berlaku, kamu akan ditawan dan dianiayai. Kamu akan didakwa di majlis saumaah-saumaah dan dipenjarakan. Kamu akan didakwa di hadapan raja-raja dan gabenor-gabenor kerana nama-Ku.
13 Inilah peluang bagimu untuk memberitakan perkhabaran baik.
14 Jadi, teguhkanlah hatimu supaya tidak bimbang bagaimana hendak membela diri
15 kerana Aku akan memberimu kata-kata dan kebijaksanaan yang tidak dapat dinafikan oleh seorang pun daripada musuh-musuhmu.
16 Kamu akan dikhianati oleh ibu bapamu, adik-beradikmu, sanak saudaramu dan sahabat handaimu. Mereka akan membunuh beberapa orang di antara kamu
17 dan kamu akan dibenci oleh semua kerana-Ku.
18 Tetapi sehelai rambutmu pun tidak akan hilang.
19 Bertahanlah, keteguhan hatimu akan menyelamatkan kamu.
20 ‘Apabila kamu melihat kota Baitulmaqdis terkepung oleh tentera-tentera, ketahuilah kamu bahawa kebinasaannya telah hampir.
21 Pada masa itu mereka yang berada di jajahan Yudea hendaklah melarikan diri ke gunung; mereka yang ada di dalam kota hendaklah meninggalkannya dan mereka yang ada di luar kota janganlah masuk ke kota itu.
22 Inilah hari-hari hukuman apabila segala perkara yang tersurat dalam Kitab Suci akan terjadi.
23 Malangnya bagi perempuan yang mengandung atau ibu yang menyusui anak pada masa itu! Kesengsaraan yang teruk akan melanda bumi dan kemurkaan akan menimpa bangsa ini.
24 Mereka akan dibunuh dengan pedang dan ada pula yang akan dibawa ke negeri lain sebagai orang tawanan. Kota Baitulmaqdis akan diinjak-injak oleh bangsa-bangsa asing sehingga tamat tempoh yang ditetapkan untuk mereka.
Lukas 21 in Kitab Suci Zabur dan Injil