7 Mereka pun menjawab kepada Isa bahawa mereka tidak mengetahui dari mana asalnya pengimadan Yahya itu.
8 Oleh itu, Isa pun berkata kepada mereka, ‘Aku juga tidak akan memberitahu kamu atas kuasa siapa Aku melakukan segala perkara ini.’
9 Kemudian Isa menceritakan ibarat ini kepada orang ramai: ‘Seorang menanami ladang anggur. Dia menyewakan ladang itu kepada beberapa orang petani lalu berangkat ke negeri lain dan tinggal beberapa lama di situ.
10 Pada musim buah-buahan dia menyuruh seorang hamba pergi kepada petani-petani itu untuk menerima hasil buah-buahan bahagiannya daripada mereka tetapi petani-petani itu memukul hamba tersebut lalu mengusirnya balik dengan tangan kosong.
11 Pemilik ladang itu menyuruh seorang hamba yang lain pula. Tetapi petani-petani itu memukulnya, mencercanya dan mengusirnya dengan tangan kosong juga.
12 Pemilik ladang itu menyuruh hamba yang ketiga. Tetapi petani-petani itu mencederakannya lalu mengusirnya.
13 ‘Pemilik ladang itu berkata, “Apakah yang hendak kubuat? Baik kusuruh puteraku yang kukasihi. Tentu petani-petani itu akan menghormatinya.”
14 ‘Tetapi apabila petani-petani itu melihatnya, mereka berbincang sesama sendiri, “Inilah warisnya. Marilah kita bunuh dia supaya ladang ini menjadi hak kita.”
15 Mereka pun mengusirnya keluar dari ladang lalu membunuhnya.’ Isa bertanya, ‘Apakah yang akan dilakukan oleh pemilik ladang terhadap petani-petani tersebut?
16 Sudah tentu dia akan datang dan membunuh petani-petani itu lalu menyewakan ladang anggur itu kepada orang lain pula.’ Setelah orang ramai itu mendengar ibarat ini, mereka berkata, ‘Semoga tidak begitu!’
17 Tetapi Isa memandang mereka dan bertanya, ‘Kalau begitu, apakah maksud ayat yang tersurat ini: ‘ “Batu yang dibuang oleh pembina telah menjadi batu penjuru?”
18 ‘Sesiapa yang jatuh pada batu itu akan hancur luluh, dan sesiapa yang ditimpa batu itu akan remuk-redam.’
19 Guru-guru Taurat dan ketua-ketua imam mencari jalan hendak menangkap Isa ketika itu juga kerana mereka mengetahui Isa telah menujukan ibarat itu terhadap mereka. Tetapi mereka takut akan orang ramai.
20 Mereka menunggu peluang. Lalu mereka mengutus beberapa orang supaya berpura-pura ikhlas untuk memerangkap Isa dengan mengemukakan pertanyaan tertentu supaya mereka dapat menyerahkan Isa ke dalam kawalan dan bidang penghakiman gabenor.
21 Mereka bertanya kepada Isa, ‘Tuan Guru, kami mengetahui apa yang Tuan Guru katakan dan ajarkan itu betul. Kami juga mengetahui Tuan Guru tidak pilih kasih kepada seseorang tetapi dengan ikhlas mengajarkan jalan Allah.