5 Pada zaman Herodes, raja negeri Yudea, ada seorang imam yang bernama Zakaria. Dia terdiri daripada golongan Abia. Isterinya, Ashba, juga daripada keturunan Harun.
6 Kedua-duanya orang yang lurus di hadapan Allah, dan mengikut segala perintah serta hukum Tuhan dengan sepenuhnya.
7 Tetapi mereka tidak mempunyai anak kerana Ashba mandul, dan kedua-duanya pun telah lanjut usia.
8 Pada suatu hari Zakaria melaksanakan tugasnya sebagai imam di hadapan Allah menurut gilirannya bertugas.
9 Mengikut peraturan keimaman, dia diundi masuk ke dalam rumah ibadat Tuhan untuk membakar kemenyan.
10 Orang ramai berhimpun di luar untuk beribadat sewaktu kemenyan dibakar.
11 Kelihatanlah kepada Zakaria, malaikat Tuhan berdiri di sebelah kanan tempat pembakar kemenyan itu.
12 Hati Zakaria berdebar apabila melihatnya dan dia berasa amat takut.
13 Tetapi malaikat itu berkata kepadanya, ‘Janganlah takut, hai Zakaria, kerana permohonanmu telah dikabulkan. Isterimu Ashba akan melahirkan seorang anak lelaki bagimu. Kamu hendaklah menamainya Yahya.
14 Kamu akan bergembira dan bersukacita apabila dia dilahirkan. Begitu juga ramai orang lain
15 kerana dia akan menjadi mulia di sisi Tuhan. Dia tidak akan minum air anggur atau minuman keras kerana dia akan dipenuhi dengan Roh Suci sejak dari rahim ibunya.
16 Dia akan mengembalikan ramai orang Israel kepada Allah, Tuhan mereka,
17 dan dia akan melangkah di hadapan Tuhan dengan roh dan kuasa Ilyas untuk mendamaikan bapa dengan anak dan mengembalikan orang ingkar ke jalan orang benar, supaya menyediakan suatu kaum yang bersiap sedia bagi Tuhan.’
18 Zakaria berkata kepada malaikat itu, ‘Bagaimanakah aku dapat mengetahui perkara ini akan berlaku? Aku telah tua dan isteriku pun telah lanjut usianya.’
19 Malaikat itu menjawab lagi, ‘Akulah Jibrail yang berdiri di hadirat Allah. Aku telah diutuskan untuk menyampaikan perkhabaran yang baik ini kepadamu.
20 Ingatlah: oleh sebab engkau tidak mempercayai kata-kataku ini yang akan berlaku pada masanya, engkau akan menjadi bisu dan tidak dapat bertutur hingga pada hari semua perkara ini berlaku.’
21 Sementara itu, orang yang berhimpun itu ternanti-nanti akan Zakaria; mereka sangat hairan kerana dia begitu lama di dalam rumah ibadat.
22 Apabila dia keluar, dia tidak dapat bertutur kepada mereka. Lalu mereka menyedari Zakaria telah nampak sesuatu di dalam rumah ibadat. Oleh sebab dia tidak dapat bertutur, dia menggunakan isyarat dengan tangannya.
23 Setelah tamat masa perkhidmatannya, Zakaria kembali ke rumahnya.
24 Kemudian, Ashba, isterinya pun hamil lalu dia tidak meninggalkan rumahnya selama lima bulan. Dia berkata,
25 ‘Akhirnya, Tuhan telah menolongku. Dia menghapuskan aibku di kalangan masyarakat.’
26 Dalam bulan yang keenam, malaikat Jibrail diutus Allah ke Nasaret, sebuah kota di jajahan Galilea,
27 kepada seorang anak dara yang telah bertunang dengan seorang lelaki yang bernama Yusuf daripada keturunan Raja Daud. Nama anak dara itu ialah Maryam.
28 Malaikat itu datang kepadanya lalu berkata, ‘Salam kepadamu yang amat diredai Allah! Tuhan bersamamu!’
29 Hati Maryam runsing mendengar kata-kata itu dan dia tertanya-tanya akan maksud salam tersebut.
30 Seterusnya, malaikat itu berkata kepadanya, ‘Janganlah takut, hai Maryam, kerana engkau telah diredai Allah.
31 Engkau akan hamil dan melahirkan seorang anak lelaki. Engkau hendaklah menamai-Nya Isa.
32 Dia akan menjadi mulia dan Dia akan digelar Putera Allah Yang Maha Tinggi. Allah, Tuhan kita akan mengurniakan takhta Daud, nenek moyang-Nya itu kepada-Nya.
33 Dia akan merajai keturunan Yakub selama-lamanya; dan kerajaannya berkekalan.’
34 Lalu Maryam berkata kepada malaikat itu, ‘Bagaimanakah perkara ini dapat berlaku, sedangkan aku masih dara?’
35 Malaikat itu menjawab, “Roh Suci akan turun ke atasmu, dan kuasa Allah Yang Maha Tinggi akan menaungimu. Oleh itu, anak suci yang akan dilahirkan akan digelar Putera Allah.
36 Tambahan pula, saudaramu Ashba yang dahulu dikatakan mandul pun telah hamil enam bulan walaupun dia sudah tua.
37 Sebab bagi Allah tidak ada yang mustahil.
38 Maryam berkata, ‘Aku ini hamba Tuhan. Jadilah kepada aku mengikut kata-katamu itu.’ Lalu malaikat pun meninggalkannya.
39 Setelah itu, Maryam bersiap-siap dan bergegas pergi ke sebuah kota di kawasan pergunungan Yudea.
40 Dia masuk ke dalam rumah Zakaria dan memberi salam kepada Ashba.
41 Apabila Ashba mendengar salam Maryam, anak dalam kandungannya bergerak-gerak dan Ashba dipenuhi Roh Suci.
42 Dia berseru, ‘Diberkati engkau antara kaum perempuan, dan diberkatilah juga kandunganmu itu.
43 Siapakah aku ini sehingga ibu Junjunganku datang kepadaku?
44 Apabila kudengar salammu, anak dalam kandunganku bergerak-gerak dengan kesukaan.
45 Diberkatilah kamu kerana mempercayai apa yang dikatakan kepadamu daripada Tuhan akan berlaku!’
46 Maryam berkata, ‘Jiwaku meninggikan Tuhan;
47 rohku bergembira kerana Allah, Penyelamatku,
48 kerana Dia mengingati hamba-Nya yang hina ini. Dari sekarang hingga selama-lamanya, orang akan berkata aku diberkati,
49 kerana Yang Maha Kuasa telah melakukan perkara yang besar untuk aku. Sucilah Nama-Nya.
50 Dia memberkati mereka yang takut akan Dia, daripada satu keturunan kepada satu keturunan yang lain.
51 Dia telah menunjukkan kekuatan tangan-Nya; Dia telah mencerai-beraikan mereka yang berhati bongkak.
52 Dia telah menurunkan raja-raja daripada takhta mereka dan mengangkat tinggi orang yang hina;
53 Dia telah memuaskan orang yang lapar dengan segala yang baik, tetapi orang kaya dihalau pergi dengan tangan kosong.
54 Dia menolong bangsa Israel, hamba-Nya kerana Dia ingat akan belas kasihan-Nya
55 yang dijanjikan kepada nenek moyang kita Ibrahim dan semua keturunannya untuk selama-lamanya.’
56 Maryam tinggal bersama Ashba selama tiga bulan. Selepas itu, dia pulang ke rumahnya.
57 Tibalah masanya untuk Ashba bersalin dan dia melahirkan seorang anak lelaki.
58 Apabila jiran tetangga dan saudara-maranya mendengar bahawa Tuhan telah melimpahkan berkat kepadanya, mereka turut bergembira bersamanya.