Text copied!
Bibles in Malay (individual language)

Lukas 1:24-62 in Malay (individual language)

Help us?

Lukas 1:24-62 in Kitab Suci Zabur dan Injil

24 Kemudian, Ashba, isterinya pun hamil lalu dia tidak meninggalkan rumahnya selama lima bulan. Dia berkata,
25 ‘Akhirnya, Tuhan telah menolongku. Dia menghapuskan aibku di kalangan masyarakat.’
26 Dalam bulan yang keenam, malaikat Jibrail diutus Allah ke Nasaret, sebuah kota di jajahan Galilea,
27 kepada seorang anak dara yang telah bertunang dengan seorang lelaki yang bernama Yusuf daripada keturunan Raja Daud. Nama anak dara itu ialah Maryam.
28 Malaikat itu datang kepadanya lalu berkata, ‘Salam kepadamu yang amat diredai Allah! Tuhan bersamamu!’
29 Hati Maryam runsing mendengar kata-kata itu dan dia tertanya-tanya akan maksud salam tersebut.
30 Seterusnya, malaikat itu berkata kepadanya, ‘Janganlah takut, hai Maryam, kerana engkau telah diredai Allah.
31 Engkau akan hamil dan melahirkan seorang anak lelaki. Engkau hendaklah menamai-Nya Isa.
32 Dia akan menjadi mulia dan Dia akan digelar Putera Allah Yang Maha Tinggi. Allah, Tuhan kita akan mengurniakan takhta Daud, nenek moyang-Nya itu kepada-Nya.
33 Dia akan merajai keturunan Yakub selama-lamanya; dan kerajaannya berkekalan.’
34 Lalu Maryam berkata kepada malaikat itu, ‘Bagaimanakah perkara ini dapat berlaku, sedangkan aku masih dara?’
35 Malaikat itu menjawab, “Roh Suci akan turun ke atasmu, dan kuasa Allah Yang Maha Tinggi akan menaungimu. Oleh itu, anak suci yang akan dilahirkan akan digelar Putera Allah.
36 Tambahan pula, saudaramu Ashba yang dahulu dikatakan mandul pun telah hamil enam bulan walaupun dia sudah tua.
37 Sebab bagi Allah tidak ada yang mustahil.
38 Maryam berkata, ‘Aku ini hamba Tuhan. Jadilah kepada aku mengikut kata-katamu itu.’ Lalu malaikat pun meninggalkannya.
39 Setelah itu, Maryam bersiap-siap dan bergegas pergi ke sebuah kota di kawasan pergunungan Yudea.
40 Dia masuk ke dalam rumah Zakaria dan memberi salam kepada Ashba.
41 Apabila Ashba mendengar salam Maryam, anak dalam kandungannya bergerak-gerak dan Ashba dipenuhi Roh Suci.
42 Dia berseru, ‘Diberkati engkau antara kaum perempuan, dan diberkatilah juga kandunganmu itu.
43 Siapakah aku ini sehingga ibu Junjunganku datang kepadaku?
44 Apabila kudengar salammu, anak dalam kandunganku bergerak-gerak dengan kesukaan.
45 Diberkatilah kamu kerana mempercayai apa yang dikatakan kepadamu daripada Tuhan akan berlaku!’
46 Maryam berkata, ‘Jiwaku meninggikan Tuhan;
47 rohku bergembira kerana Allah, Penyelamatku,
48 kerana Dia mengingati hamba-Nya yang hina ini. Dari sekarang hingga selama-lamanya, orang akan berkata aku diberkati,
49 kerana Yang Maha Kuasa telah melakukan perkara yang besar untuk aku. Sucilah Nama-Nya.
50 Dia memberkati mereka yang takut akan Dia, daripada satu keturunan kepada satu keturunan yang lain.
51 Dia telah menunjukkan kekuatan tangan-Nya; Dia telah mencerai-beraikan mereka yang berhati bongkak.
52 Dia telah menurunkan raja-raja daripada takhta mereka dan mengangkat tinggi orang yang hina;
53 Dia telah memuaskan orang yang lapar dengan segala yang baik, tetapi orang kaya dihalau pergi dengan tangan kosong.
54 Dia menolong bangsa Israel, hamba-Nya kerana Dia ingat akan belas kasihan-Nya
55 yang dijanjikan kepada nenek moyang kita Ibrahim dan semua keturunannya untuk selama-lamanya.’
56 Maryam tinggal bersama Ashba selama tiga bulan. Selepas itu, dia pulang ke rumahnya.
57 Tibalah masanya untuk Ashba bersalin dan dia melahirkan seorang anak lelaki.
58 Apabila jiran tetangga dan saudara-maranya mendengar bahawa Tuhan telah melimpahkan berkat kepadanya, mereka turut bergembira bersamanya.
59 Pada hari yang kelapan, mereka datang untuk menyunatkan bayi itu. Mereka mahu menamainya Zakaria seperti nama bapanya.
60 Tetapi ibunya berkata, ‘Tidak! Namanya ialah Yahya.’
61 Mereka berkata kepada Ashba, ‘Tiada seorang pun daripada kaum keluargamu yang bernama sedemikian.’
62 Lalu mereka bertanya kepada bapanya dengan menggunakan isyarat nama yang hendak diberikan kepada anaknya itu.
Lukas 1 in Kitab Suci Zabur dan Injil