Text copied!
Bibles in Malay (individual language)

Lukas 19:8-32 in Malay (individual language)

Help us?

Lukas 19:8-32 in Kitab Suci Zabur dan Injil

8 Tetapi Zakheus berdiri dan berkata kepada Junjungan, ‘Tuan, sekarang ini juga aku hendak memberikan separuh hartaku kepada orang miskin, dan jikalau aku telah menipu sesiapa, aku akan membayarnya kembali empat kali ganda.’
9 Isa berkata kepadanya, ‘Pada hari ini juga penyelamatan telah datang kepada seluruh keluarga kamu kerana kamu juga seorang keturunan Ibrahim.
10 Putera Insan datang untuk mencari dan menyelamatkan orang yang sesat.’
11 Isa menceritakan sebuah ibarat kepada mereka yang mendengar-Nya. Dia kini telah hampir tiba ke Baitulmaqdis dan mereka menyangka bahawa kerajaan Allah akan menjadi nyata tidak lama lagi.
12 Jadi, Isa berkata: ‘Seorang bangsawan telah berangkat ke negeri jauh untuk dilantik menjadi raja dan akan kembali.
13 Terlebih dahulu dia memanggil sepuluh orang hambanya, lalu memberi masing-masing sekeping wang emas dan berkata kepada mereka, “Uruskanlah wang ini sehingga aku pulang.”
14 ‘Tetapi rakyat negeri itu membencinya dan menyuruh utusan-utusan untuk memberitahunya, “Kami tidak mahu orang ini menjadi raja kami.”
15 ‘Setelah dia menjadi raja, dia kembali dan memerintah hamba-hamba yang telah diberi wang emas datang menghadapnya dengan segera. Dia ingin mengetahui jumlah keuntungan dalam perniagaan masing-masing.
16 ‘Yang pertama menghadap dan berkata, “Tuan, sekeping wang emas tuan itu telah menjadi sepuluh kali lebih banyak.”
17 ‘Tuan itu berkata kepadanya, “Bagus sekali, hamba yang baik. Oleh sebab engkau telah setia dalam perkara kecil ini, aku akan menjadikan engkau penguasa sepuluh buah kota.”
18 ‘Yang kedua menghadap dan berkata, “Tuan, sekeping wang emas tuan itu telah menjadi lima kali lebih banyak.”
19 ‘Tuan itu berkata kepadanya, “Engkau akan menjadi penguasa lima buah kota.”
20 ‘Seorang hamba lagi menghadap dan berkata, “Tuan inilah wang emas tuan yang telah aku simpan di dalam sehelai kain.
21 Aku takut akan tuan kerana tuan seorang yang keras hati. Tuan mengambil apa yang bukan milik tuan, dan menuai apa yang tidak tuan taburkan.”
22 ‘Tuan itu berkata, “Hamba yang tidak berguna! Aku akan menghukum engkau mengikut kata-katamu sendiri. Engkau mengetahui aku ini seorang yang keras hati, mengambil barang yang bukan milikku dan menuai apa yang tidak aku taburkan.
23 Jadi, mengapakah engkau tidak memasukkan wang itu ke dalam tabung? Kemudian, setelah aku kembali, dapatlah aku ambil wang itu dengan faedahnya.”
24 ‘Lalu tuan itu berkata kepada orang yang berdiri di situ, “Ambillah keping wang itu daripadanya dan berikannya kepada orang yang ada sepuluh keping wang emas itu.”
25 ‘Mereka pun berkata kepadanya, “Tuan, dia sudah ada sepuluh keping.”
26 ‘Tuan itu berkata, “Orang yang sedia ada akan diberi lebih banyak, dan orang yang tidak mempunyai sesuatu akan diambil barang yang ada padanya.
27 Sekarang, bawalah ke mari seteru-seteruku yang tidak mahu aku menjadi raja mereka. Bunuhlah mereka di hadapanku.” ’
28 Setelah Isa berkata demikian, Dia pun berjalan mendahului mereka menuju ke Baitulmaqdis.
29 Apabila Dia mendekati Baitfagi dan Baitani di Bukit Zaitun, Dia menyuruh dua orang pengikut-Nya dengan berkata kepada mereka,
30 ‘Pergilah ke kampung di hadapan itu. Apabila kamu masuk ke kampung itu, kamu akan mendapati seekor anak keldai yang tertambat. Anak keldai itu belum pernah ditunggangi orang. Lepaskan keldai itu dan bawa ke mari.
31 Jikalau ada orang bertanya kepadamu, “Mengapakah kamu melepaskan keldai?” kamu hendaklah berkata kepadanya, “Junjungan memerlukannya.” ’
32 Kedua-dua pengikut itu pun pergi dan mendapati sebagaimana yang telah dikatakan Isa kepada mereka.
Lukas 19 in Kitab Suci Zabur dan Injil