Text copied!
Bibles in Malay (individual language)

Lukas 18:11-24 in Malay (individual language)

Help us?

Lukas 18:11-24 in Kitab Suci Zabur dan Injil

11 Orang Farisi itu berdiri dan berdoa dalam hatinya: “Ya Allah, aku mengucap syukur kepada-Mu kerana aku tidak tamak, menipu atau tidak bermoral seperti orang lain. Aku bersyukur kepada-Mu kerana aku tidak seperti pemungut cukai ini.
12 Aku berpuasa dua kali seminggu dan mempersembahkan sepersepuluh daripada semua pendapatanku.”
13 ‘Akan tetapi, pemungut cukai itu berdiri jauh sedikit, tidak berani menengadah ke langit melainkan menebah dada sambil berkata, “Ya Allah, kasihanilah hamba, orang berdosa ini.”
14 ‘Aku berkata kepadamu bahawa pemungut cukai ini pulang ke rumahnya dengan diperkenankan Allah tetapi orang Farisi itu tidak. Sesiapa yang meninggikan dirinya akan direndahkan, dan sesiapa yang merendahkan dirinya akan ditinggikan.’
15 Orang membawa anak mereka kepada Isa supaya Dia memberkati mereka. Tetapi apabila pengikut-pengikut Isa melihat hal ini, mereka menegur orang itu.
16 Namun Isa memanggil anak-anak itu datang kepada-Nya lalu Dia berkata, ‘Biarlah anak-anak ini datang kepada-Ku. Janganlah melarang mereka kerana kerajaan Allah menjadi milik orang yang sedemikian.
17 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa sesiapa yang tidak menyambut kerajaan Allah seperti seorang anak menerimanya, tidak dapat masuk ke dalam kerajaan itu.’
18 Seorang pemimpin bangsa Yahudi bertanya kepada Isa, ‘Ya Guru yang baik, apakah harus aku buat untuk beroleh hidup yang kekal?’
19 Isa menjawab, ‘Mengapakah engkau mengatakan Aku ini baik? Tiada sesiapapun yang baik kecuali Allah.
20 Engkau mengetahui hukum-hukum Allah, iaitu: “Jangan berzina, jangan membunuh, jangan mencuri, jangan berdusta, hormati bapa dan ibumu.” ’
21 Pemimpin itu berkata, ‘Semua ini telah kuturuti sejak kecil.’
22 Apabila Isa mendengar ini, Dia berkata kepadanya, ‘Satu perkara sahaja yang perlu kaulakukan. Juallah segala hartamu dan dermakan wangnya kepada orang miskin. Engkau akan beroleh harta di syurga. Kemudian, ikutlah Aku.’
23 Tetapi apabila pemimpin itu mendengar demikian, dia menjadi sangat sedih kerana dia seorang yang amat kaya.
24 Isa nampak kesedihannya lalu berkata, ‘Alangkah sukar bagi orang kaya masuk ke dalam kerajaan Allah!
Lukas 18 in Kitab Suci Zabur dan Injil