Text copied!
Bibles in Malay (individual language)

Lukas 13:8-26 in Malay (individual language)

Help us?

Lukas 13:8-26 in Kitab Suci Zabur dan Injil

8 ‘Tukang kebun menjawab, “Tuan, biarkan pokok ini tumbuh setahun lagi. Aku akan mencangkul tanah di sekelilingnya dan membubuh baja.
9 Kalau pokok ini berbuah, baiklah! Kalau tidak, tuan boleh menebangnya.”’
10 Pada hari Sabat Isa mengajar di salah sebuah saumaah.
11 Di situ ada seorang perempuan yang dirasuk oleh sesuatu roh yang melemahkannya selama lapan belas tahun. Belakangnya bongkok lipat dua dan dia tidak dapat berdiri tegak.
12 Apabila Isa nampak perempuan itu, Dia memanggilnya dan berkata, ‘Sembuhlah daripada penyakitmu.’
13 Lalu Isa meletakkan tangan-Nya pada perempuan itu. Seketika itu juga, dia berdiri tegak dan memuji Allah.
14 Tetapi ketua saumaah itu marah kerana Isa telah menyembuhkan orang pada hari Sabat. Lalu dia berkata kepada orang ramai, ‘Dalam seminggu ada enam hari yang dibenarkan untuk bekerja. Jadi, datanglah untuk disembuhkan pada salah satu hari itu dan bukannya pada hari Sabat.’
15 Junjungan menjawab, ‘Kamu munafik! Bukankah kamu masing-masing melepaskan lembu atau keldaimu dari kandang untuk dibawa pergi minum pada hari Sabat?
16 Sekarang perempuan daripada keturunan Ibrahim ini telah dibelenggu oleh Iblis selama lapan belas tahun, tidak haruskah dia dibebaskan daripada belenggunya pada hari Sabat?’
17 Jawapan Isa memalukan semua musuh-Nya tetapi orang ramai bersukacita kerana segala perkara menakjubkan yang dilakukan oleh Isa.
18 Isa berkata, ‘Bagaimanakah keadaan kerajaan Allah dan dengan apakah dapat Aku bandingkannya?
19 Keadaannya umpama biji sesawi yang ditanam orang di dalam kebunnya. Benih itu tumbuh dan menjadi pokok lalu burung di udara membuat sarang pada cabang-cabangnya.’
20 Isa berkata lagi, ‘Dengan apakah dapat Aku bandingkan kerajaan Allah?
21 Keadaannya umpama ragi dicampur oleh seorang perempuan dengan tiga gantang tepung sampai seluruh adunannya naik.’
22 Dalam perjalanan ke Baitulmaqdis, Isa melalui beberapa buah kota dan kampung sambil mengajar.
23 Seorang bertanya kepada-Nya, ‘Tuan, adakah segelintir sahaja yang akan diselamatkan?’ Isa menjawab,
24 ‘Berusahalah untuk memasuki pintu yang sempit. Aku berkata kepadamu bahawa ramai orang akan mencari jalan masuk, tetapi mereka tidak mendapatinya.
25 Tuan rumah akan bangun dan menguncikan pintu ketika kamu berdiri di luar mengetuk pintu sambil berkata, “Tuan, tuan, bukalah pintu.” ‘Tetapi dia akan menjawab, “Aku tidak tahu dari mana kamu datang.”
26 ‘Kemudian kamu akan berkata, “Kami telah makan dan minum bersama tuan, dan tuan mengajar di kota kami.”
Lukas 13 in Kitab Suci Zabur dan Injil