10 Kerana setiap orang yang meminta akan menerima; yang mencari akan mendapat; dan pintu akan dibuka kepada orang yang mengetuknya.
11 ‘Bapa yang manakah di antara kamu akan memberikan ular kepada anaknya yang meminta ikan,
12 atau memberikan kala jengking kalau dipintanya telur?
13 Jika kamu yang jahat tahu memberikan barang yang baik kepada anak-anakmu, apatah lagi Bapamu yang di syurga akan memberikan Roh Suci kepada orang yang meminta-Nya!’
14 Isa mengusir roh iblis daripada seorang yang bisu. Setelah roh itu keluar, orang bisu itu pun mula bercakap. Orang ramai pun hairan.
15 Tetapi ada orang yang berkata, ‘Dia mengusir roh-roh iblis dengan kuasa Beelzebul, ketua semua roh iblis.’
16 Orang lain cuba memerangkap Isa dengan meminta-Nya melakukan suatu mukjizat untuk menunjukkan Allah berkenan dengan-Nya.
17 Isa mengetahui fikiran mereka lalu berkata kepada mereka, ‘Setiap negara yang berbelah bahagi dan bermusuhan sesama rakyatnya tidak akan tahan lama dan setiap keluarga yang bersengketa sesama sendiri akan hancur.
18 Jikalau kerajaan Iblis berlawan-lawanan sesama sendiri, bagaimanakah kerajaannya dapat bertahan? Kamu berkata bahawa Aku mengusir roh-roh iblis dengan kuasa Beelzebul.
19 Tetapi jikalau Aku mengusir roh-roh iblis dengan kuasa Beelzebul, maka dengan kuasa siapakah pula pengikut-pengikutmu mengusir roh-roh iblis? Maka pengikut-pengikutmu sendiri akan menghakimi kamu!
20 Tetapi jika Aku mengusir roh-roh iblis dengan kuasa Allah, maka ini menunjukkan bahawa kerajaan Allah telah datang kepada kamu.
21 ‘Apabila seorang yang gagah dan bersenjata lengkap mengawal rumahnya, harta bendanya selamat;
22 tetapi apabila seorang yang lebih gagah menyerang dan mengalahkannya, yang lebih gagah itu akan merampas segala senjata yang diperlukan oleh tuan rumah itu lalu membahagikan harta yang dirampasnya.
23 ‘Orang yang tidak berpihak kepada Aku menentang Aku; dan orang yang tidak bersama Aku bercerai-berai.
24 ‘Apabila roh durjana keluar daripada seseorang, roh itu mengembara di tempat yang kering untuk mencari tempat berehat. Jika tempat itu tidak dapat dicari, roh itu berkata, “Aku akan pulang ke tempat kediamanku yang lama.”
25 Roh itu kembali dan mendapati tempat kediamannya itu bersih dan kemas.
26 Kemudian dia pergi membawa tujuh roh lain yang lebih durjana daripadanya lalu mereka tinggal di situ. Keadaan orang itu pada akhirnya lebih teruk daripada dahulu.’
27 Setelah Isa berkata demikian, seorang perempuan antara orang ramai itu berkata, ‘Diberkatilah perempuan yang melahirkan dan menyusui Engkau.’