12Namun apabila mereka mempercayai Filipus ketika dia bercakap tentang hal-hal berkaitan dengan kerajaan Allah dan nama Isa al-Masih, mereka pun diimadkan, baik lelaki mahupun perempuan.
13Kemudian Simon sendiri percaya; dan setelah diimadkan dia terus menyertai Filipus dan amat kagum melihat keajaiban serta alamat yang dilakukan.
14Apabila para rasul di Baitulmaqdis mendengar bahawa orang Samaria telah menerima firman Allah, mereka mengutus Petrus dan Yahya ke sana.
15Setelah sampai di situ, kedua-duanya berdoa semoga mereka menerima Roh Suci,
16kerana mereka belum lagi dipenuhi oleh-Nya. Mereka baru diimadkan sahaja dengan nama Junjungan Isa.
17Kemudian Petrus dan Yahya meletakkan tangan atas mereka lalu mereka menerima Roh Suci.
18Setelah Simon melihat betapa Roh Suci diberi ketika para rasul meletakkan tangan, dia menawarkan wang kepada mereka
19sambil berkata, ‘Berilah aku kuasa itu juga, supaya sesiapa yang kuletakkan tangan atasnya akan menerima Roh Suci.’
20Tetapi Petrus berkata kepadanya, ‘Punahlah wangmu bersamamu, kerana kamu menyangka kurnia Allah dapat dibeli dengan wang!
21Kamu tidak ada bahagian dalam pekerjaan kami, kerana hatimu tidak ikhlas di sisi Allah.
22Oleh itu bertaubatlah daripada kejahatanmu itu, dan berdoalah kepada Tuhan semoga kamu dapat diampuni kerana niat di hatimu itu;
23kerana kulihat kamu diracuni perasaan kepahitan dan dibelenggu dosa.’