Text copied!
Bibles in Malay (individual language)

Kisah Para Rasul 7:32-60 in Malay (individual language)

Help us?

Kisah Para Rasul 7:32-60 in Kitab Suci Zabur dan Injil

32 “Akulah Tuhan nenek moyangmu; Tuhan Ibrahim, Ishak dan Yakub.” Musa gementar ketakutan dan tidak berani memandang lagi.
33 ‘Tuhan berfirman seterusnya, “Tanggalkan kasutmu, kerana tempat kamu berdiri itu tanah suci.
34 Aku telah melihat penindasan umat-Ku di Mesir. Aku telah mendengar rintihan mereka, dan telah turun untuk membebaskan mereka. Sekarang marilah, Aku akan mengutusmu ke Mesir.”
35 ‘Musa inilah yang telah ditolak oleh umat Israel dengan kata-kata, “Siapa yang menjadikan kamu pemerintah dan hakim kami?” Justeru dialah yang diutus Allah sebagai pemerintah dan pembebas, melalui malaikat yang menampakkan diri kepadanya di belukar itu.
36 Musa memimpin orang Israel keluar dari Mesir setelah melakukan pelbagai mukjizat dan keajaiban di Mesir, di Laut Merah dan kemudian di tanah gurun selama empat puluh tahun.
37 ‘Musa inilah yang berkata kepada bangsa Israel, “Allah akan mengutus seorang Nabi kepadamu, sebagaimana Dia telah mengutusku dari kalangan bangsamu.”
38 Musa inilah yang bersama bangsa Israel berhimpun di tanah gurun. Dia di sana berserta nenek moyang kita dan malaikat yang berkata-kata kepadanya di Gunung Sinai. Dialah yang menerima firman hidup, untuk disampaikan kepada kita.
39 ‘Tetapi nenek moyang kita enggan taat kepadanya. Mereka menolaknya dan dalam hati mereka berpaling semula ke Mesir.
40 Mereka berkata kepada Harun, “Buatkan kami patung pujaan yang dapat memimpin kami, kerana kami tidak tahu apa yang telah terjadi kepada Musa yang membawa kami keluar dari Mesir.”
41 Setelah itu mereka membuat berhala berbentuk anak lembu dan mempersembahkan korban kepada berhala itu. Mereka bersuka ria meraikan buatan tangan mereka sendiri.
42 Oleh itu Allah berpaling daripada mereka dan membiarkan mereka menyembah segala yang di langit. Demikianlah yang tersurat di dalam kitab nabi-nabi: ‘ “Adakah kamu mempersembahkan kepada-Ku binatang sembelihan dan korban selama empat puluh tahun di tanah gurun, hai orang Israel?
43 Malah kamu mengusung khemah Molokh dan bintang berhalamu Refan, patung-patung yang kamu buat untuk kamu sembah; maka Aku akan membuangmu jauh ke seberang Babel.”
44 ‘Nenek moyang kita mempunyai Khemah Kesaksian di tanah gurun. Khemah ini dibuat sebagaimana yang diperintahkan kepada Musa menurut contoh yang telah dilihatnya.
45 Nenek moyang kita, setelah menerimanya, bersama Yusak telah membawanya masuk ke negeri kita yang dikuasai oleh bangsa-bangsa asing. Allah telah mengusir bangsa-bangsa asing itu di hadapan mereka, dan khemah itu tetap di tanah tersebut hingga zaman Daud.
46 Daud mendapat keredaan Allah dan memohon izin-Nya untuk membina sebuah rumah untuk Tuhan yang disembah oleh Yakub.
47 Tetapi Sulaiman yang membina rumah untuk-Nya.
48 ‘Namun, Tuhan Yang Maha Tinggi tidak tinggal di dalam rumah buatan tangan manusia, seperti kata nabi:
49 ‘ “Syurga arasy-Ku, dan bumi alas kaki-Ku. Rumah apakah yang hendak kamu bina untuk-Ku, dan dimanakah tempat rehat-Ku?” firman Tuhan.
50 ‘ “Bukankah Aku sendiri yang telah mencipta semuanya?”
51 ‘Hai yang keras kepala dan tidak bersunat hati dan telingamu! Kamu sentiasa melawan Roh Suci sebagaimana yang dilakukan oleh nenek moyangmu.
52 Nabi manakah yang tidak dianiaya oleh nenek moyangmu? Mereka membunuh nabi-nabi yang telah menubuatkan kedatangan Yang Benar itu, yang kamu khianati dan bunuh.
53 Kamu telah menerima Taurat Allah yang disampaikan oleh malaikat, tetapi kamu tidak mematuhinya.’
54 Apabila mendengar kata-kata ini, mereka tersangat sakit hati dan berang terhadap Stefanus.
55 Akan tetapi dia dipenuhi Roh Suci lalu merenung ke langit dan melihat kemuliaan Allah serta Isa berdiri di sebelah kanan Allah.
56 Dia berkata, ‘Lihatlah! Aku nampak syurga terbuka dan Putera Insan berdiri di sebelah kanan Allah!’
57 Mereka pun bertempik sambil menutup telinga lalu menyerang Stefanus serentak.
58 Mereka menyeret dia ke luar kota lalu merejamnya. Orang yang menyaksikan segalanya itu meletakkan jubah mereka di kaki seorang muda bernama Saul.
59 Ketika mereka merejam Stefanus, dia berseru, ‘Junjungan Isa, terimalah rohku.’
60 Kemudian dia berlutut dan berteriak dengan suara yang kuat, ‘Junjungan, jangan tanggungkan dosa ini atas mereka.’ Setelah berkata demikian, dia pun meninggal dunia.
Kisah Para Rasul 7 in Kitab Suci Zabur dan Injil