Text copied!
Bibles in Malay (individual language)

Kisah Para Rasul 7:3-25 in Malay (individual language)

Help us?

Kisah Para Rasul 7:3-25 in Kitab Suci Zabur dan Injil

3 Allah berfirman kepadanya, “Tinggalkanlah negerimu dan keluargamu. Pergilah ke negeri yang akan Kutunjukkan kepadamu.”
4 ‘Ibrahim pun terus meninggalkan negeri Kasdim dan tinggal di Haran. Setelah bapa Ibrahim meninggal dunia, Allah memindahkan pula Ibrahim ke negeri tempat saudara-saudara dan bapa-bapa tinggal sekarang ini.
5 Ketika itu Allah tidak memberikan warisan apapun kepada Ibrahim sebagai miliknya, secebis tanah pun tidak. Namun begitu, Allah berjanji akan mengurniakan tanah ini kepada Ibrahim sebagai miliknya dan milik keturunannya, walaupun pada masa itu Ibrahim tidak mempunyai anak.
6 Namun Allah berfirman kepadanya bahawa keturunannya akan tinggal di negeri orang, dan akan diperhamba serta ditindas selama empat ratus tahun.
7 “Aku akan menghukum bangsa yang memperhamba mereka,” Allah berfirman. “Kemudian mereka akan keluar dari negeri itu dan menyembah-Ku di sini.”
8 Kemudian Allah membuat perjanjian sunat dengan Ibrahim; maka Ibrahim mendapat anak lelaki bernama Ishak dan menyunatkannya pada hari kelapan; Ishak mendapat Yakub dan Yakub mendapat dua belas orang anak lelaki yang menjadi nenek moyang bangsa kita.
9 ‘Nenek moyang bangsa kita itu menaruh hasad dengki terhadap Yusuf lalu menjualnya sebagai hamba di Mesir. Tetapi Allah menyertainya
10 dan menyelamatkannya daripada segala kesusahannya. Apabila Yusuf mengadap Firaun raja Mesir, Allah mengurniainya budi dan kebijaksanaan, sehingga raja Mesir melantiknya menjadi gabenor yang berkuasa ke atas seluruh negeri itu dan istananya.
11 ‘Kemudian seluruh Mesir dan Kanaan dilanda kebuluran, dan nenek moyang kita tidak dapat mencari makanan.
12 Apabila Yakub mendengar bahawa di Mesir ada gandum, dia menyuruh anak-anaknya, nenek moyang kita, pergi ke situ bagi kali pertama.
13 Ketika mereka ke sana bagi kali kedua, Yusuf diperkenalkan kepada saudara-saudaranya itu dan keluarga Yusuf diketahui oleh Firaun.
14 Lalu Yusuf mengirim khabar dan meminta bapanya, Yakub, serta seluruh keluarganya berpindah ke Mesir; tujuh puluh lima orang semuanya.
15 Yakub sekeluarga pun berpindah ke Mesir. Di situlah dia dan nenek moyang kita meninggal dunia.
16 Jenazah mereka dibawa ke Sikhem dan dikebumikan di kuburan yang telah dibeli oleh Ibrahim dengan sejumlah wang daripada suku Hamor, bapa Sikhem.
17 ‘Apabila masa bagi Allah menunaikan janji-Nya kepada Ibrahim semakin hampir, bilangan bangsa kita di Mesir telah meningkat banyak sekali.
18 Kemudian seorang raja lain yang tidak kenal akan Yusuf naik takhta kerajaan Mesir.
19 Raja itu memperdaya bangsa kita dan menindas nenek moyang kita, dengan memaksa mereka membuang bayi yang baru lahir dan membiarkannya mati.
20 ‘Pada masa itulah Musa dilahirkan, seorang bayi yang elok di mata Allah. Dia dipelihara di rumah bapanya selama tiga bulan.
21 Apabila dia terpaksa dibuang, puteri Raja Mesir mengambilnya dan memeliharanya sebagai anak sendiri.
22 Musa menjadi arif dalam segala ilmu pengetahuan serta kebijaksanaan orang Mesir dan menjadi seorang yang sangat handal, baik dari segi perkataan mahupun perbuatan.
23 ‘Sewaktu Musa berusia empat puluh tahun, hatinya tergerak hendak mengunjungi saudara-saudaranya bani Israel.
24 Dia terpandang salah seorang daripada mereka sedang dianiaya oleh seorang Mesir. Dia pun membela orang yang dianiaya itu dan membunuh orang Mesir itu;
25 kerana Musa menyangka saudara-saudara sebangsanya mengerti bahawa Allah akan membebaskan mereka melaluinya, tetapi mereka tidak mengerti.
Kisah Para Rasul 7 in Kitab Suci Zabur dan Injil