Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Kisah Para Rasul - Kisah Para Rasul 5

Kisah Para Rasul 5:3-34

Help us?
Click on verse(s) to share them!
3Petrus berkata, ‘Ananias, mengapakah Iblis memenuhi hatimu sehingga kau berdusta kepada Roh Suci dengan menyimpan sebahagian wang jualan tanah itu untuk dirimu?
4Ketika tanah itu masih ada, bukankah tanah itu milikmu? Setelah dijual, bukankah wangnya dalam kawalanmu juga? Mengapakah kamu membentuk niat ini dalam hatimu? Kamu bukan berdusta kepada manusia tetapi kepada Allah.’
5Apabila Ananias mendengar kata-kata itu, dia pun rebah lalu meninggal dunia. Oleh yang demikian semua orang yang mendengar hal itu amat ketakutan.
6Orang muda-muda bangun lalu mengkafankannya, mengangkatnya keluar dan menguburkannya.
7Kira-kira tiga jam kemudian, isterinya masuk tanpa mengetahui apa yang telah terjadi.
8Petrus berkata kepadanya, ‘Katakanlah kepadaku, adakah kamu menjual tanah itu dengan harga sekian?’ Perempuan itu menjawab, ‘Ya, dengan harga sekian.’
9Petrus berkata kepadanya, ‘Bagaimana pula kamu berdua telah bermuafakat untuk mencubai Roh Tuhan? Lihatlah, kaki orang yang telah menguburkan suamimu ada di muka pintu, dan mereka akan mengangkatmu pula keluar.’
10Perempuan itu serta-merta rebah di kakinya lalu meninggal dunia. Orang muda-muda itu masuk dan mendapati perempuan itu sudah mati lalu mengangkatnya keluar dan menguburkannya di sisi suaminya.
11Oleh yang demikian, seluruh masyarakat yang beriman amat ketakutan, begitu juga semua yang mendengar hal itu.
12Melalui rasul-rasul itu banyak alamat ajaib dan mukjizat dilakukan di kalangan masyarakat itu. Semuanya berhimpun dengan sehati di Serambi Sulaiman.
13Walaupun orang lain tidak berani menyertai mereka, namun orang ramai sangat menghormati mereka.
14Semakin lama semakinlah bertambah bilangan orang yang mempercayai Tuhan, baik lelaki mahupun perempuan.
15Orang membawa orang sakit keluar ke tengah jalan, membaringkan mereka di atas katil dan kaus, dengan harapan sekurang-kurangnya bayang-bayang Petrus akan menyentuh sesetengahnya apabila dia lalu kelak.
16Ramai pula orang dari kota-kota sekeliling Baitulmaqdis datang berhimpun, membawa orang yang sakit dan yang dirasuk roh-roh durjana, lalu semuanya disembuhkan.
17Imam besar dan semua yang bersamanya (iaitu dari mazhab orang Saduki) amat iri hati
18lalu menangkap rasul-rasul itu dan memasukkan mereka ke penjara umum.
19Tetapi pada malam itu malaikat Tuhan membuka pintu penjara lalu membawa rasul-rasul itu keluar sambil berkata,
20‘Pergilah berdiri di rumah ibadat dan nyatakan segalanya tentang hidup baru ini kepada orang ramai.’
21Setelah mendengar kata-kata itu, ketika fajar menyingsing, mereka pergi ke rumah ibadat dan mula mengajar. Kemudian tibalah imam besar dan pengikut-pengikutnya. Mereka memanggil para tua-tua bani Israel berkumpul untuk mengadakan mesyuarat Majlis Agama, lalu memerintahkan rasul-rasul itu dibawa dari penjara untuk dihadapkan kepada mereka.
22Apabila pegawai-pegawai itu sampai di penjara dan mendapati rasul-rasul itu tidak ada di situ, mereka pun pulang melaporkan hal itu,
23‘Kami dapati pintu penjara tetap berkunci dan pengawal-pengawal berjaga di situ, tetapi apabila kami membuka pintu, kami dapati tiada seorang pun di dalam penjara itu.’
24Apabila ketua rumah ibadat dan ketua-ketua imam mendengar laporan itu, mereka kebingungan tentang apa yang mungkin terjadi kelak.
25Kemudian seorang lelaki masuk dan berkata kepada mereka, ‘Orang yang tuan-tuan penjarakan itu sedang mengajar orang ramai di dalam rumah ibadat!’
26Dengan demikian, ketua rumah ibadat pergi diiringi pegawai-pegawai lalu membawa rasul-rasul itu beredar dari situ tanpa menggunakan kekerasan, kerana takut direjam oleh orang ramai.
27Mereka membawa para rasul ke hadapan Majlis Agama. Imam besar berkata,
28‘Bukankah kami telah melarang keras kamu mengajar atas nama itu? Tetapi lihatlah, kamu telah menyebarkan ajaran itu ke serata Baitulmaqdis dan berniat mempertanggungjawabkan kami atas kematian-Nya!’
29Petrus dan rasul yang lain menjawab, ‘Kami harus taat akan Allah, bukan manusia!
30Allah Tuhan yang disembah oleh nenek moyang kita telah membangkitkan Isa yang telah kamu bunuh dengan menyalib-Nya.
31Allah mengangkat Isa kepada kedudukan mulia di sebelah kanan-Nya, sebagai Anak Raja dan Penyelamat, supaya umat Israel dapat bertaubat dan dosa-dosa mereka diampuni.
32Kami menjadi saksi dalam semua hal ini, begitu juga Roh Suci yang dikurniai Allah kepada semua yang taat akan perintah-Nya.’
33Apabila anggota-anggota Majlis Agama mendengar kata-kata itu, mereka sangat marah sehingga berura-ura hendak membunuh para rasul.
34Akan tetapi di kalangan anggota Majlis Agama itu ada seorang Farisi bernama Gamaliel, seorang guru Taurat yang sangat disegani. Dia bangkit lalu mengarahkan orang membawa para rasul keluar sejurus.

Read Kisah Para Rasul 5Kisah Para Rasul 5
Compare Kisah Para Rasul 5:3-34Kisah Para Rasul 5:3-34