Text copied!
Bibles in Malay (individual language)

Kisah Para Rasul 28:13-31 in Malay (individual language)

Help us?

Kisah Para Rasul 28:13-31 in Kitab Suci Zabur dan Injil

13 kemudian belayar ke kota Regium. Esoknya angin mula bertiup dari selatan dan lusanya kami sampai ke Putioli.
14 Di sana kami bertemu saudara-saudara seiman lalu menerima ajakan tinggal bersama mereka selama tujuh hari. Kemudian sampailah kami ke Rom.
15 Para pengikut Isa di Rom mendengar khabar tentang kami lalu datang dari sana sampai ke Pasar Apius dan Kedai Tiga untuk bertemu dengan kami. Apabila Paulus melihat mereka, dia mengucapkan syukur kepada Allah dan menjadi tabah.
16 Di Rom Paulus dibenarkan tinggal seorang diri, hanya dijaga oleh seorang askar.
17 Tiga hari kemudian, Paulus meminta para pemimpin masyarakat Yahudi datang berjumpa dengannya. Dia berkata kepada mereka, ‘Saudara-saudara, sungguhpun aku tidak melakukan sebarang kesalahan terhadap bangsa kita atau melanggar adat nenek moyang kita, namun aku ditahan di Baitulmaqdis lalu diserahkan ke tangan orang Rom.
18 Mereka memeriksa perkaraku dan hendak membebaskanku kerana mereka mendapati aku tidak melakukan satu kesalahan pun yang patut dihukum mati.
19 Apabila orang Yahudi menentang keputusan itu, terpaksalah aku meminta hendak mengadu kepada Kaisar; tetapi bukanlah kerana hendak mengajukan apa-apa dakwaan terhadap bangsa kita.
20 Itulah sebabnya aku meminta saudara-saudara bertemu dan bercakap dengan aku. Aku dibelenggu begini kerana Dia yang diharapkan oleh orang Israel.’
21 Mereka berkata kepada Paulus, ‘Kami belum mendapat surat dari Yudea tentang saudara. Tiada seorang pun yang datang ke sini menyebutkan apa-apa kesalahan saudara.
22 Tetapi kami ingin mendengar pendapat saudara, kerana kami tahu orang di serata tempat mencela ajaran yang saudara anuti.’
23 Mereka menetapkan hari untuk bertemu lagi dengan Paulus. Pada hari itu lebih ramai lagi yang datang ke tempat dia menumpang itu. Dia menerangkan segala-galanya, bersaksi tentang kerajaan Allah dan berusaha meyakinkan mereka tentang Isa dengan menunjukkan bukti dalam Taurat Musa dan tulisan para nabi, dari pagi hingga ke malam.
24 Ada yang percaya akan katanya itu dan ada yang tidak.
25 Mereka pergi dari situ dengan pendapat yang bercanggah sesama sendiri, setelah Paulus berkata, ‘Benarlah apa yang dikatakan oleh Roh Suci melalui Nabi Yasyaya kepada nenek moyang kita,
26 ‘ “Pergilah kepada bangsa ini dan katakan: ‘Kamu akan mendengar tetapi tidak mengerti; Kamu terus melihat tetapi tidak mengetahui.’
27 Kerana hati umat ini telah buntu, mereka pekakkan telinga, dan pejamkan mata. Kalau tidak demikian, mereka tentu melihat dengan mata, mendengar dengan telinga, dan mengerti dengan hati, lalu berpaling kepada-Ku dan Aku menyembuhkan mereka. ” ’
28 Paulus berkata, ‘Saudara-saudara, ketahuilah: perkhabaran tentang penyelamatan yang dikurniakan Allah sekarang telah disampaikan kepada orang bangsa asing. Merekalah yang akan menerimanya.’
29 Setelah Paulus berkata demikian, orang Yahudi meninggalkan tempat itu sambil bertengkar hebat sesama mereka.
30 Paulus tinggal selama dua tahun di rumah yang disewanya sendiri. Dia menyambut semua yang mengunjunginya
31 dan menyampaikan ajaran tentang kerajaan Allah serta Junjungan Isa al-Masih dengan berani dan bebas, tiada siapa yang menghalangnya.
Kisah Para Rasul 28 in Kitab Suci Zabur dan Injil