13 Beberapa hari kemudian, Raja Agripa berangkat bersama Bernike ke Kaisarea untuk meraikan kedatangan Festus.
14 Dalam beberapa hari raja itu tinggal di sana, Festus menceritakan hal Paulus kepadanya, ‘Di sini ada seorang yang ditinggalkan oleh Feliks di dalam penjara.
15 Ketika aku di Baitulmaqdis, ketua-ketua imam dan para pemimpin masyarakat Yahudi menuduh orang itu dan meminta supaya dia dihukum.
16 ‘Tetapi aku menjawab bahawa menurut adat orang Rom, seseorang itu tidak boleh diserahkan sebelum berhadapan dengan pendakwanya dan diberi peluang membela diri.
17 Apabila mereka datang ke sini, esoknya tanpa berlengah-lengah aku duduk sebagai hakim dan mengarahkan supaya orang itu dibawa masuk ke mahkamah.
18 Para pendakwanya mengemukakan tuduhan tetapi tiada satu pun merupakan perbuatan jahat sebagaimana aku jangkakan.
19 Semua tuduhan itu berlegar sekitar perselisihan tentang agama, tentang seorang bernama Isa yang sudah mati dan dikatakan hidup semula oleh Paulus.
20 Aku pun tidak tahu bagaimana hendak mengadili hal itu, lalu bertanya kalau dia mahu ke Baitulmaqdis supaya dibicarakan di sana.
21 Tetapi Paulus meminta tangguh, hendak mengadukan halnya supaya dibicarakan di hadapan yang maha mulia Kaisar; lalu aku menyuruh dia dipenjarakan hingga aku menghantarnya kepada Kaisar.’
22 Agripa berkata, ‘Aku pun ingin mendengar orang itu.’ Festus menjawab, ‘Esok dapatlah kamu mendengarnya.’
23 Pada esoknya Agripa dan Bernike berangkat dengan selengkap kebesarannya, masuk ke dalam balai mahkamah bersama para panglima dan orang yang terkemuka di kota itu. Dengan perintah Festus, Paulus dibawa masuk.