5 Setelah sampai waktu yang dirancang, kami bertolak dari situ. Semua pengikut Isa bersama anak isteri menghantarkan kami sampai ke luar kota. Kami semua berlutut di pantai lalu berdoa dan bersalam-salaman.
6 Selepas itu kami naik ke kapal dan mereka pulang ke rumah masing-masing.
7 Dari Tirus kami meneruskan pelayaran ke Ptolemais. Di situ kami memberi salam kepada saudara-saudara seiman lalu tinggal dengan mereka selama sehari.
8 Esoknya kami pergi ke Kaisarea lalu masuk ke rumah Filipus, pemberita Injil yang menjadi salah seorang daripada tujuh pembantu para rasul, lalu kami tinggal dengannya.
9 Dia mempunyai empat orang anak gadis yang belum berkahwin dan mereka bernubuat.
10 Setelah kami tinggal di situ beberapa hari, seorang nabi bernama Agabus datang dari Yudea.
11 Dia mendapatkan kami lalu mengambil tali pinggang Paulus dan mengikat kaki tangannya sendiri sambil berkata, ‘Demikianlah kata Roh Suci, bahawa orang yang mempunyai tali pinggang ini akan diikat demikian di Baitulmaqdis oleh orang Yahudi dan diserahkan ke tangan orang bangsa asing.’
12 Apabila mendengar kata-kata itu, kami dan penduduk kota itu meminta Paulus supaya jangan pergi ke Baitulmaqdis.
13 Paulus menjawab, ‘Mengapa kamu menangis dan menyedihkan hatiku? Aku bersedia bukan sahaja untuk diikat, malah untuk mati di Baitulmaqdis demi Junjungan Isa.’
14 Oleh sebab dia tidak mahu mendengar kata kami, kami pun berhenti memujuknya lalu berkata, ‘Berlakulah kehendak Tuhan.’
15 Selepas itu kami berkemas lalu pergi ke Baitulmaqdis.
16 Beberapa orang pengikut Isa dari Kaisarea menyertai kami lalu membawa kami berjumpa Menason, orang Siprus, yang sudah lama percaya akan Isa; di rumahnyalah kami menumpang.
17 Setelah sampai di Baitulmaqdis, kami disambut oleh saudara-saudara seiman dengan sukacita.
18 Pada esoknya Paulus bersama kami masuk berjumpa dengan Yakobus; ketua-ketua yang lain pun ada di situ.
19 Setelah memberi salam kepada mereka, Paulus menceritakan segala yang telah dilakukannya secara terperinci di kalangan bangsa asing dengan kehendak Allah.
20 Apabila mendengar kisah itu mereka memuji Allah dan berkata kepada Paulus, ‘Saudara, sebagaimana kamu lihat, ada berpuluh ribu orang Yahudi yang sudah percaya akan Isa dan mereka itu berpegang teguh kepada Taurat.
21 Ada orang memberitahu mereka bahawa kamu mengajar orang Yahudi yang tinggal di kalangan orang bangsa asing supaya berpaling daripada Musa, jangan menyunatkan anak-anak dan jangan menurut adat orang Yahudi.
22 Sekarang bagaimana? Mereka tentu mendengar berita kedatanganmu ke sini.
23 Oleh itu, ikutlah seperti kata kami. Di antara kami ada empat orang yang telah bernazar.
24 Bawalah mereka bersamamu dan sucikan dirimu bersama mereka serta tanggung belanja mencukur kepala mereka. Dengan demikian semua orang akan tahu bahawa apa yang dikatakan tentangmu itu tidak benar, sebaliknya kamu mengikut Taurat.
25 Namun, tentang orang bangsa asing yang percaya akan Isa, kami telah berkirim surat memberikan hukum bahawa mereka hendaklah memeliharakan diri daripada makanan yang dipersembahkan kepada berhala, daripada darah dan binatang yang mati dicekik, dan daripada zina.’