Text copied!
CopyCompare
Kitab Suci Zabur dan Injil - Kisah Para Rasul - Kisah Para Rasul 21

Kisah Para Rasul 21:20-31

Help us?
Click on verse(s) to share them!
20Apabila mendengar kisah itu mereka memuji Allah dan berkata kepada Paulus, ‘Saudara, sebagaimana kamu lihat, ada berpuluh ribu orang Yahudi yang sudah percaya akan Isa dan mereka itu berpegang teguh kepada Taurat.
21Ada orang memberitahu mereka bahawa kamu mengajar orang Yahudi yang tinggal di kalangan orang bangsa asing supaya berpaling daripada Musa, jangan menyunatkan anak-anak dan jangan menurut adat orang Yahudi.
22Sekarang bagaimana? Mereka tentu mendengar berita kedatanganmu ke sini.
23Oleh itu, ikutlah seperti kata kami. Di antara kami ada empat orang yang telah bernazar.
24Bawalah mereka bersamamu dan sucikan dirimu bersama mereka serta tanggung belanja mencukur kepala mereka. Dengan demikian semua orang akan tahu bahawa apa yang dikatakan tentangmu itu tidak benar, sebaliknya kamu mengikut Taurat.
25Namun, tentang orang bangsa asing yang percaya akan Isa, kami telah berkirim surat memberikan hukum bahawa mereka hendaklah memeliharakan diri daripada makanan yang dipersembahkan kepada berhala, daripada darah dan binatang yang mati dicekik, dan daripada zina.’
26Paulus pun membawa empat orang itu bersamanya dan pada esoknya dia menyucikan diri bersama mereka. Kemudian dia masuk ke rumah ibadat dan memberitahu orang di situ bilangan harinya upacara penyucian itu akan selesai dan korban akan dipersembahkan bagi setiap mereka.
27Apabila hampir genap tujuh hari, beberapa orang Yahudi dari Asia terpandang Paulus di dalam rumah ibadat. Mereka menghasut orang ramai lalu menangkap Paulus
28sambil berseru, ‘Hai orang Israel, marilah tolong kami! Inilah dia orang yang menyebarkan merata-rata ajaran yang menghina kaum kita, Taurat dan rumah ibadat. Dia juga telah membawa orang Yunani ke dalam rumah ibadat, menajiskan tempat suci ini.’
29Mereka berkata begitu kerana pernah melihat Trofimus orang Efesus bersama Paulus di kota itu lalu mereka menyangka bahawa Paulus telah membawanya ke dalam rumah ibadat.
30Ini menggemparkan semua orang Yahudi di kota itu lalu mereka berlari dan berhimpun mengerumuni Paulus. Mereka menangkapnya dan menyeretnya ke luar rumah ibadat. Semua pintu rumah ibadat pun segera ditutup.
31Ketika mereka hendak membunuhnya, ketua pasukan tentera Rom mendengar bahawa seisi kota Baitulmaqdis sedang merusuh.

Read Kisah Para Rasul 21Kisah Para Rasul 21
Compare Kisah Para Rasul 21:20-31Kisah Para Rasul 21:20-31