Text copied!
Bibles in Malay (individual language)

Kisah Para Rasul 21:15-35 in Malay (individual language)

Help us?

Kisah Para Rasul 21:15-35 in Kitab Suci Zabur dan Injil

15 Selepas itu kami berkemas lalu pergi ke Baitulmaqdis.
16 Beberapa orang pengikut Isa dari Kaisarea menyertai kami lalu membawa kami berjumpa Menason, orang Siprus, yang sudah lama percaya akan Isa; di rumahnyalah kami menumpang.
17 Setelah sampai di Baitulmaqdis, kami disambut oleh saudara-saudara seiman dengan sukacita.
18 Pada esoknya Paulus bersama kami masuk berjumpa dengan Yakobus; ketua-ketua yang lain pun ada di situ.
19 Setelah memberi salam kepada mereka, Paulus menceritakan segala yang telah dilakukannya secara terperinci di kalangan bangsa asing dengan kehendak Allah.
20 Apabila mendengar kisah itu mereka memuji Allah dan berkata kepada Paulus, ‘Saudara, sebagaimana kamu lihat, ada berpuluh ribu orang Yahudi yang sudah percaya akan Isa dan mereka itu berpegang teguh kepada Taurat.
21 Ada orang memberitahu mereka bahawa kamu mengajar orang Yahudi yang tinggal di kalangan orang bangsa asing supaya berpaling daripada Musa, jangan menyunatkan anak-anak dan jangan menurut adat orang Yahudi.
22 Sekarang bagaimana? Mereka tentu mendengar berita kedatanganmu ke sini.
23 Oleh itu, ikutlah seperti kata kami. Di antara kami ada empat orang yang telah bernazar.
24 Bawalah mereka bersamamu dan sucikan dirimu bersama mereka serta tanggung belanja mencukur kepala mereka. Dengan demikian semua orang akan tahu bahawa apa yang dikatakan tentangmu itu tidak benar, sebaliknya kamu mengikut Taurat.
25 Namun, tentang orang bangsa asing yang percaya akan Isa, kami telah berkirim surat memberikan hukum bahawa mereka hendaklah memeliharakan diri daripada makanan yang dipersembahkan kepada berhala, daripada darah dan binatang yang mati dicekik, dan daripada zina.’
26 Paulus pun membawa empat orang itu bersamanya dan pada esoknya dia menyucikan diri bersama mereka. Kemudian dia masuk ke rumah ibadat dan memberitahu orang di situ bilangan harinya upacara penyucian itu akan selesai dan korban akan dipersembahkan bagi setiap mereka.
27 Apabila hampir genap tujuh hari, beberapa orang Yahudi dari Asia terpandang Paulus di dalam rumah ibadat. Mereka menghasut orang ramai lalu menangkap Paulus
28 sambil berseru, ‘Hai orang Israel, marilah tolong kami! Inilah dia orang yang menyebarkan merata-rata ajaran yang menghina kaum kita, Taurat dan rumah ibadat. Dia juga telah membawa orang Yunani ke dalam rumah ibadat, menajiskan tempat suci ini.’
29 Mereka berkata begitu kerana pernah melihat Trofimus orang Efesus bersama Paulus di kota itu lalu mereka menyangka bahawa Paulus telah membawanya ke dalam rumah ibadat.
30 Ini menggemparkan semua orang Yahudi di kota itu lalu mereka berlari dan berhimpun mengerumuni Paulus. Mereka menangkapnya dan menyeretnya ke luar rumah ibadat. Semua pintu rumah ibadat pun segera ditutup.
31 Ketika mereka hendak membunuhnya, ketua pasukan tentera Rom mendengar bahawa seisi kota Baitulmaqdis sedang merusuh.
32 Dia segera membawa beberapa orang ketua tentera dan askar-askar untuk mendapatkan perusuh-perusuh itu. Apabila melihat mereka datang, perusuh-perusuh itu berhenti memukul Paulus.
33 Ketua pasukan tentera itu datang menangkap Paulus, disuruhnya ikat dengan dua rantai. Dia bertanya siapakah itu dan apakah yang telah dilakukannya.
34 Di antara orang ramai itu sesetengah menjawab begini dan sesetengahnya begitu. Oleh sebab ketua pasukan tentera itu tidak dapat memastikan punca huru-hara itu, dia menyuruh orangnya membawa Paulus ke dalam kubu.
35 Setelah sampai ke tangga, askar-askar mengangkat Paulus kerana orang ramai mengganas.
Kisah Para Rasul 21 in Kitab Suci Zabur dan Injil