Text copied!
Bibles in Malay (individual language)

Kisah Para Rasul 19:6-25 in Malay (individual language)

Help us?

Kisah Para Rasul 19:6-25 in Kitab Suci Zabur dan Injil

6 Paulus meletakkan tangan di atas mereka lalu datanglah Roh Suci menguasai mereka dan mereka semuanya bercakap dalam berbagai-bagai bahasa serta bernubuat.
7 Semuanya ada kira-kira dua belas orang.
8 Paulus masuk ke saumaah dan bercakap di situ dengan beraninya selama tiga bulan. Dia berbincang dengan orang di situ dan berusaha meyakinkan mereka tentang kerajaan Allah.
9 Akan tetapi beberapa orang berkeras hati dan tidak mahu percaya malah memburuk-burukkan Jalan Tuhan di hadapan orang ramai. Oleh itu Paulus meninggalkan mereka lalu membawa pengikut-pengikut Isa bersamanya ke dewan syarahan Tiranus dan di situlah dia mengadakan perbincangan.
10 Hal itu berlaku selama dua tahun, hingga semua penduduk Asia, baik orang Yahudi mahupun orang Yunani, telah mendengar firman Tuhan.
11 Allah melakukan mukjizat yang luar biasa melalui Paulus.
12 Sesetengah mereka membawa pulang sapu tangan atau kain yang pernah dipakai Paulus kepada orang yang sakit lalu mereka sembuh dan roh-roh iblis yang merasuk mereka keluar dari tubuh mereka.
13 Beberapa orang Yahudi yang mengamalkan ilmu sihir turut serta menyebut nama Junjungan Isa untuk mengubat orang yang dirasuk roh-roh iblis, dengan berkata, ‘Aku menyumpahi kamu demi Isa yang dikhabarkan oleh Paulus.’
14 Ada tujuh orang anak Skewa, imam besar orang Yahudi, yang berbuat demikian.
15 Akan tetapi roh durjana itu menjawab, ‘Aku kenal akan Isa, dan tahu akan Paulus, tetapi kamu ini siapa?’
16 Lalu orang yang dirasuk roh durjana itu menerkam dan mengerjakan mereka. Mereka pun lari dari dalam rumah itu dalam keadaan telanjang dan luka.
17 Berita itu tersebar di kalangan orang Yahudi mahupun Yunani di Efesus; mereka ketakutan lalu nama Junjungan Isa semakin dimuliakan.
18 Ramai orang yang mempercayai Isa datang sambil mengakui segala perbuatan jahat mereka yang lalu.
19 Beberapa orang yang mengamalkan ilmu sihir mengumpulkan semua buku sihirnya dan membakarnya di hadapan orang ramai. Semua buku sihir itu dianggar nilainya kira-kira lima puluh ribu keping wang perak.
20 Demikianlah, firman Tuhan tersebar luas dan semakin berkuasa.
21 Setelah selesai peristiwa itu, Paulus berniat dalam hatinya hendak menjelajahi Makedonia dan Akhaya dan kemudian ke Baitulmaqdis. Dia berkata, ‘Selepas itu, aku mesti pergi ke Rom pula.’
22 Dia pun menyuruh Timotius dan Erastus, dua orang daripada pembantu-pembantunya, pergi dahulu ke Makedonia, manakala dia tinggal lebih lama di Asia.
23 Pada masa itu berlaku huru-hara di Efesus kerana ajaran tentang Jalan Tuhan.
24 Seorang tukang perak bernama Demetrius membuat balai-balai berhala Dewi Artemis daripada perak. Pekerjaan ini membawa hasil lumayan kepada pekerja-pekerjanya.
25 Dia menghimpunkan para pekerja serta tukang-tukang yang sama mata pencariannya lalu berkata, ‘Saudara-saudara sekalian tahu bahawa daripada pekerjaan inilah kita mendapat keuntungan.
Kisah Para Rasul 19 in Kitab Suci Zabur dan Injil