Text copied!
Bibles in Malay (individual language)

Kisah Para Rasul 18:5-21 in Malay (individual language)

Help us?

Kisah Para Rasul 18:5-21 in Kitab Suci Zabur dan Injil

5 Setelah Silas dan Timotius sampai di situ dari Makedonia, Paulus menumpukan masa kepada usaha menyampaikan firman Allah serta memberikan kesaksian kepada orang Yahudi bahawa Isa itulah al-Masih.
6 Akan tetapi mereka menentang dan mencelanya; maka Paulus mengebaskan debu daripada pakaiannya lalu berkata, ‘Jika kamu musnah, kamu sendirilah yang bertanggungjawab, aku tidak salah, aku bersih. Dari sekarang aku hendak pergi kepada orang bangsa asing.’
7 Paulus pun berpindah ke rumah Titus Yustus, seorang yang menyembah Allah; rumahnya bersebelahan dengan saumaah.
8 Krispus, ketua saumaah itu, serta seisi rumahnya, percaya kepada Junjungan Isa; ramai lagi orang Korintus turut mendengar dan percaya lalu diimadkan.
9 Pada suatu malam Tuhan berfirman kepada Paulus dalam satu penglihatan, ‘Jangan takut, berkata-katalah terus dan jangan berhenti,
10 kerana Aku menyertaimu. Tiada seorang pun akan dapat mencederakanmu, kerana ramai orang di kota ini umat-Ku.’
11 Paulus tinggal di situ setahun setengah sambil menyebarkan firman Allah kepada orang di situ.
12 Semasa Galio menjadi pemerintah negeri Akhaya, orang Yahudi bangkit dengan sehati melawan Paulus lalu membawanya ke muka keadilan.
13 Mereka berkata, ‘Orang ini cuba mempengaruhi orang ramai supaya menyembah Allah dengan cara yang bercanggah dengan hukum Taurat.’
14 Apabila Paulus hendak menjawab, Galio berkata, ‘Hai orang Yahudi, jikalau perkara ini tentang kesalahan atau jenayah, patutlah aku bersabar mendengarnya;
15 tetapi jikalau pertikaianmu tentang perkataan, nama dan hukummu hendaklah kamu menyelesaikannya sendiri; aku tidak mahu mengadili perkara yang demikian.’
16 Lalu Galio mengusir mereka keluar dari tempat pengadilan itu.
17 Kemudian mereka menangkap Sostenes, ketua saumaah, lalu memukulnya di hadapan tempat pengadilan itu, tetapi Galio tidak menghiraukannya.
18 Paulus tinggal dengan para pengikut Isa di Korintus beberapa hari lagi. Selepas itu dia meninggalkan mereka lalu belayar bersama Priskila dan Akwila ke Siria. Sebelum bertolak, Paulus mencukur rambutnya di Kengkrea sebagai menunaikan nazarnya.
19 Apabila mereka sampai di Efesus, Paulus meninggalkan Priskila dan Akwila di situ. Dia masuk seorang ke saumaah lalu berbincang dengan orang Yahudi.
20 Ketika mereka memintanya tinggal lebih lama lagi di sana, dia menolak permintaan itu
21 lalu bermohon diri sambil berkata, ‘Insya-Allah, aku akan kembali bertemu denganmu.’ Selepas itu dia belayar meninggalkan Efesus.
Kisah Para Rasul 18 in Kitab Suci Zabur dan Injil