23 Sedang aku berjalan-jalan sambil memerhatikan apa yang saudara-saudara sembah, di suatu tempat aku dapati suatu tempat korban yang ditulis begini: “Kepada Tuhan yang tidak diketahui.” Tuhan yang saudara-saudara sembah tanpa mengetahui-Nya itulah yang hendak aku nyatakan kepada saudara-saudara.
24 ‘Allah yang menjadikan dunia dengan segala isinya serta memerintah langit dan bumi tidak tinggal di tempat sembahyang buatan manusia,
25 dan tidak dilayani oleh manusia kerana Dia tidak kekurangan apa-apa. Malah Dialah yang memberi manusia hidup dan nafas serta segala-galanya.
26 Daripada seorang manusia Dia menjadikan semua bangsa manusia yang menduduki seluruh muka bumi; Dia juga menetapkan masa dan tempat mereka hidup.
27 Masing-masing diharap mencari Tuhan, mudah-mudahan mereka menemui-Nya. Dia tidaklah jauh daripada kita.
28 “Kerana-Nya kita bergerak serta ada di dunia ini.” Sebagaimana kata penyair bangsamu, “Kita adalah anak-Nya.”
29 ‘Oleh sebab kita anak-Nya, tidak patut kita sangka Dia serupa dengan emas, perak atau batu yang diukir dengan kepandaian dan akal manusia.
30 Allah membiarkan manusia melalui zaman kejahilan itu; tetapi sekarang Dia menyuruh manusia di seluruh dunia ini bertaubat;
31 kerana Dia telah menetapkan bahawa pada suatu hari seisi dunia ini akan dihakimkan dengan adil oleh seorang yang ditentukan-Nya. Allah bersaksi akan hal ini kepada semua manusia dengan membangkitkan-Nya daripada kematian.’
32 Apabila mendengar ‘membangkitkan-Nya daripada kematian’, ada yang mengejek-ejek; tetapi ada yang berkata, ‘Kami mahu mendengar lagi kamu bercakap tentang perkara itu.’
33 Selepas itu Paulus keluar daripada perhimpunan itu.